Polis wanita jadi wira, selamatkan warga emas daripada digilis kereta api selepas kerusi roda tersekat di landasan

Seorang warga emas nyaris maut gara-gara kerusi rodanya tersekat di landasan kereta api, sebelum dia diselamatkan seorang pegawai polis. Foto: Lodi Police Department

SEORANG pegawai polis wanita menjadi 'wira' selepas dia berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada digilis kereta api.

Erika Urrea mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan lelaki yang tidak dikenali, selepas kerusi roda milik warga emas itu tersangkut di landasan kereta api di Lodi, San Francisco pada Rabu.

Menerusi rakaman kamera video, jelas kelihatan detik-detik mencemaskan ketika Urrea menolong lelaki berkenaan sebelum kereta api meluncur laju melintasi mereka dalam tempoh beberapa saat sahaja.

Difahamkan ketika kejadian, pegawai polis itu sedang memandu sebelum terperasan kelibat lelaki berkenaan yang sedang duduk di atas kerusi roda di tengah-tengah landasan.

Tanpa membuang masa, Urrea segera mendapatkan lelaki berkenaan dan bertanya sama ada dia dapat berdiri di mana ketika itu siren amaran kereta api sudah kedengaran.

Sepantas kilat, Urrea lantas mengangkat lelaki berkenaan dari kerusi roda dan mereka berdua jatuh ke tanah.

Sejurus itu kereta api meluncur laju melalui landasan berkenaan.

Lelaki itu mengalami kecederaan di kaki dan dihantar ke hospital tempatan untuk rawatan selanjutnya.

Video berkenaan menjadi viral di media sosial, dengan rata-rata netizen memuji polis wanita berkenaan. - Metro.co.uk

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik