suria

Tragis! Doktor ini pernah rayu PM Britain sediakan lebih banyak PPE untuk ‘frontliners’, kini turut terkorban kerana Covid-19

Dr Abdul Mabud meninggalkan isteri dan dua orang anak selepas turut menjadi korban Covid-19. Foto: Metro.co.uk

BARU beberapa hari lalu media tempatan melaporkan mengenai seorang jururawat di Britain meninggal dunia kerana Covid-19, kini seorang doktor turut menerima nasib yang sama.

Dr Abdul Mabud Chowdhury meninggal dunia pada usia 53 tahun selepas 15 hari menerima rawatan di Queens Hospital, Romford, Timur London.

Dia merupakan salah seorang daripada 17 kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang terkorban sejak bermulanya pandemik Covid-19.

Tragisnya, Dr Abdul Mabud meninggal dunia tiga minggu selepas dia merayu kepada Perdana Menteri, Boris Johnson berkenaan bekalan kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan.

Bulan lalu, Dr Abdul Mabud menulis kepada Boris Johnson meminta Perdana Menteri itu memastikan setiap petugas NHS mempunyai akses untuk PPE.

Tulisnya, petugas barisan hadapan mempunyai kontak langsung dengan pesakit Covid-19 dan mempunyai hak seperti orang lain untuk hidup bersama keluarga tanpa perlu bimbang dengan penyakit.

Persatuan Doktor Muslim dalam satu kenyataan berkata: "Beliau meninggalkan isteri dan dua anak. Ingatan dan doa kami bersama mereka. Dua minggu sebelum kemasukannya ke hospital, beliau menulis mesej kepada Perdana Menteri meluahkan gesaan untuk bekalan PPE yang lebih baik. Semoga beliau tenang di sana." - Metro.co.uk

rayu, PPE, PM, Britain, doktor

Artikel Lain