suria

Umpama bom jangka! Perhimpunan tabligh Nizamuddin punca merebak Covid-19 di India

Seorang peserta perhimpunan tabligh Nizamuddin di New Delhi antara yang disahkan positif jangkitan Covid-19 di Allahabad pada 1 April 2020. Foto: Sanjay Kanojia/AFP

PERHIMPUNAN jemaah tabligh Nizamuddin antara 1 hingga 15 Mac lalu di selatan Delhi, India menyebabkan merebaknya wabak Covid-19 di negara berkenaan.

Malahan kluster jemaah ini umpama bom masa yang dengan pantas menjangkiti ribuan jemaah dan kontak rapat mereka.

Pada Rabu, lebih 5,000 peserta perhimpunan itu telah dikenal pasti dan dikuarantin di banyak hospital di beberapa negeri, manakala usaha sedang dilakukan untuk mengesan kira-kira 2,000 lagi termasuk di Gujarat, Tamil Nadu dan Telangana.

Kementerian Kesihatan India juga mengesahkan, peningkatan jumlah kes Covid-19 juga berpunca daripada perhimpunan itu.

Setakat ini, direkodkan keseluruhannya 1,998 kes dengan 58 kematian.

Kawasan yang mencatat jumlah tertinggi kes baharu adalah Maharashtra, Tamil Nadu dan Delhi.

Di Delhi, pihak berwajib memaklumkan, kes Covid-19 meningkat kepada 152 kes, termasuk 53 yang menyertai perhimpunan Nizamuddin.

Selain itu, bilangan di Maharashtra melonjak kepada 335 dengan peningkatan 33 kes termasuk 30 di Mumbai.

Di Tamil Nadu, seramai 110 peserta yang pulang dari program tabligh berkenaan telah disahkan positif virus berkenaan menjadikan kesemuanya 234 kes.

Selain itu, di Tamil Nandu sekurang-kurangnya 515 orang dikenal pasti telah menghadiri perhimpunan itu di mana 59 telah dikuarantin.

Ketua Menteri, K Palaniswami berkata, 1,131 lelaki telah pulang ke negeri itu daripada kira-kira 1,500 yang menyertai perhimpunan di selatan Delhi itu.

Di Telangana pula, 50 daripada 57 kes positif adalah mereka yang menyertai perhimpunan tabligh, manakala pihak berkuasa negeri telah mengenal pasti dan bertindak mengkuarantin kira-kira 870 yang mempunyai kaitan dengan acara itu.

Bagaimanapun, seramai 160 lagi sedang dikesan.

Di Delhi, Timbalan Ketua Menteri, Manish Sisodia berkata, daripada 2,361 orang yang telah dipindahkan dari lokasi perhimpunan, seramai 617 orang dibawa ke hospital selepas menunjukkan simptom jangkitan itu.

Ketua Menteri, Arvind Kejriwal berkata, pihak berkuasa memantau pergerakan individu yang dikuarantin dengan menghubungi mereka dari semasa ke semasa.

Di Karnataka, sekurang-kurangnya 50 warga asing dikuarantin selepas diketahui menghadiri perhimpunan itu , manakala 12 lagi telah meninggalkan negara itu.

Sementara di Uttar Pradesh, kerajaan negeri mengarahkan semua 569 peserta perhimpunan itu menjalani proses kuarantin, manakala di Gujarat pula seramai 85 dikuarantin selain usaha mengesan hampir 1,500 yang dikatakan terlibat dalam perhimpunan tabligh itu.- indiatoday.in


tabligh, Nizamuddin, India, Covid-19

Artikel Lain