suria

25,000 orang berkumpul di Bangladesh berdoa agar dunia selamat dari ancaman Covid-19, cetus kritikan ramai

Puluhan ribu warga Bangladesh hadir dalam himpunan bagi memohon agar dunia selamat dari ancaman wabak Covid-19. Foto: AFP

PULUHAN ribu Muslim di Bangladesh berhimpun untuk menunaikan solat sunat dan berdoa memohon agar negara itu bebas dari wabak koronavirus atau Covid-19, pada Rabu.

Ketua Polis Tota Miah menganggarkan sekitar 10,000 penganut berkumpul di lapangan terbuka di kota Raipur di selatan Bangladesh untuk berdoa memohon penduduk disembuhkan dari wabak yang telah menyerang hampir 100,000 orang di seluruh dunia itu.

"Mereka mengadakan solat 'Khatme Shifa' selepas Subuh untuk membebaskan negara daripada koronavirus," kata Miah kepada AFP.

Penganjur mendakwa bilangan yang hadir mencecah 25,000 orang.

Beliau berkata penganjur tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Foto-foto perhimpunan itu telah dikongsi secara meluas di media sosial, dengan majoritinya membantah perhimpunan berkenaan.

Pihak berkuasa Bangladesh telah menutup sekolah dan meminta penduduk tempatan untuk mengelakkan perhimpunan besar dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut.

"Tidak boleh dipercayai bagaimana mereka melakukannya tanpa memberitahu polis? Mereka akan bertanggungjawab jika ada apa-apa yang berlaku kepada rakyat di rantau ini," tulis seorang warga maya, Abdur Rahman di Facebook.

Bilangan kes positif Covid-19 di negara yang mempunyai 168 juta penduduk itu masih kekal 14 kes.

Bagaimanapun, beberapa pakar perubatan menyuarakan rasa khuatir mereka bahawa ujian pengesanan yang dilakukan tidak dijalankan dengan menyeluruh. - THE STAR

Bangladesh, Covid-19

Artikel Lain