suria

Itali lepasi angka kematian Covid-19 di China

Petugas kesihatan di unit rawatan rapi (ICU) di hospital Oglio Po di Cremona, Itali yang merawat pesakit dijangkiti Covid-19.Foto REUTERS/Flavio Lo Scalzo

ITALI melepasi angka kematian di China akibat wabak Covid-19, menjadikan negara itu mencatatkan jumlah tertinggi kematian jangkitan virus itu di seluruh dunia.

Bercakap pada sidang media, Agensi Perlindungan Awam Itali memberitahu bahawa jumlah kematian di Itali mencecah 3,405 orang pada Khamis.

Bilangan itu melebihi 156 orang daripada angka kematian yang dicatatkan di China iaitu 3,249 orang.

Menurut agensi, jumlah kes di Itali meningkat kepada 41,035 kes dengan 5,322 kes baharu.

Angka yang menyedihkan itu beberapa jam selepa China mencatatkan tiada kes baharu Covid-19 buat pertama kali sejak bermula pandemik itu.

Itali kini mengenakan sekatan di seluruh dunia, sama seperti yang dilihat di China, dengan meletakkan lebih 60 juta orang di bawah perintah berkurung.

Kebanyakan kes Covid-19 di Itali dicatatkan di utara negara itu.

Antara langkah lain adalah pihak berkuasa Itali mempertimbangkan untuk melanjutkan penutupan sekolah selepas 3 April depan, susulan khabar angin mengenai tempoh perintah berkurung turut dilanjutkan. - CNN




Itali, China, kematian, Covid-19

Artikel Lain