suria

Insiden anjing heret bayi baru lahir bongkar status hospital beroperasi secara haram

Seekor anjing dikatakan telah mengheret bayi yang baru lahir dalam kejadian di hospital yang beroperasi secara haram.

LAPORAN polis dibuat terhadap seorang doktor dan kakitangan sebuah hospital swasta di daerah Fatehgarh di Uttar Pradesh selepas seekor anjing liar memasuki bilik bersalin dan mengheret bayi yang baru lahir.

Laporan berhubung kejadian itu difailkan di balai polis Farrukhabad pada Isnin.

Susulan itu, pentadbiran daerah telah menyita hospital berkenaan selepas mendapati ia tidak berdaftar dengan pejabat Pegawai Ketua Perubatan.

Selain itu, semua pesakit yang sedang menerima rawatan telah dipindahkan ke hospital daerah.

Majistret Daerah Fatehgarh, Manvendra Singh menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat hospital yang beroperasi secara haram itu.

"Tindakan akan diambil berasaskan laporan yang dibuat," katanya.

Menurut pegawai polis bertugas, Ved Prakash Pandey, penduduk tempatan, Ravi Singh memberitahu dia telah membawa isterinya, Kanchan untuk bersalin di hospital itu.

Kakitangan hospital telah membawa isterinya ke dewan bedah untuk pembedahan Caesarean dan mendakwa seorang jururawat memberitahunya anaknya telah selamat dilahirkan.

Bagaimanapun, kata Pandey, pihak hospital pula mendakwa anaknya telah meninggal dunia ketika lahir dan kononnya dia telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Kakitangan hospital mendakwa mereka telah membawa bayi yang telah meninggal dunia itu ke sebuah bilik di sebelah dewan bedah. Beberapa minit kemudian, seekor anjing liar memasuki bilik itu dan menyerang bayi berkenaan.

"Kakitangan yang mengesan kehadiran anjing itu segera menghalau anjing berkenaan," katanya.

Susulan itu berlaku pertengkaran antara kakitangan hospital dan Singh hingga membawa kepada laporan polis dibuat terhadap doktor dan kakitangan hospital berkenaan.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat susulan laporan polis itu.-indiaexpress.com


anjing, Fatehgarh, Uttar Pradesh, Pandey, Singh

Artikel Lain