suria

Menyentuh hati! Ketahui bagaimana anjing pintar ini berjaya selamatkan biri-biri daripada kebakaran hutan Australia

Patsy sempat dirakam gambarnya ketika api sedang mara ke arahnya. -foto IG @patsythecorryongwonderdog

SEEKOR anjing jenis border collie telah menjadi wira apabila menyelamatkan sekawan kambing biri-biri dalam kebakaran dahsyat di ladang di Australia.

Patsy, anjing pengembala yang berusia enam tahun itu mengelilingi kumpulan biri-biri itu bersama seorang petani ketika api sedang mara ke arah mereka di sebuah kampung di Corryong, Victoria.

Anjing yang terkenal dengan sikapnya yang setia dan bekerja keras itu membawa kumpulan biri-biri tersebut ke kawasan lapang paling selamat di ladang manakala tuannya bertindak memadam api dengan traktor yang mengandungi tangki air.

Hampir semua biri-biri bersama jerami dan peralatan perladangan lain berjaya diselamatkan oleh Patsy bersama tuannya.

Patsy mendapat pujian daripada tuannya kerana menyelamatkan kumpulan biri-biri daripada terbakar. -foto IG @patsythecorryongwonderdog

Cath Hill telah berkongsi gambar 'anjing bertuah' milik abangnya itu sedang duduk di tanah ladang yang terbakar berlatar belakangkan biri-biri yang diselamatkannya dan langit gelap dipenuhi asap.

Juga terdapat sekeping gambar yang mengejutkan menunjukkan Patsy dengan api yang semakin dekat di belakangnya.

Border collie adalah anjing paling cerdas dan pintar di dunia, bekerja keras, setia dan mempunyai stamina mengagumkan serta suka belajar perkara baharu.

Patsy bergambar berlatarbelakangkan biri-biri yang berjaya diselamatkan. -foto IG @patsythecorryongwonderdog


Anjing ini tidak pernah letih atau bosan melakukan kerja-kerja yang disuruh.

Hill berkata abangnya masih berjuang melawan kebakaran di Corryong, yang dikatakannya akan terus terbakar selama beberapa minggu.

Dia memberitahu Metro.co.uk: "Ia seperti Armageddon."

"Semua orang hanya cuba mendapatkan air dan memberi makan haiwan mereka, menembak mana-mana yang tidak dapat diselamatkan, memasang pagar sementara untuk menyimpan barang-barang dengan selamat.

"Dan ada juga yang tinggal sehelai sepinggang sahaja," katanya.

Cuaca di sana dijangka menjadi lebih buruk pada Khamis minggu ini.

"Ia sukar dipercayai dan akan menjadi lebih teruk. Sebab itulah kami keluarkan cerita Patsy ini. Orang ramai memerlukan sesuatu yang positif," katanya.

Kawanan biri-biri ini hampir menjadi mangsa kepada kebakaran hutan yang berlaku di Australia. -foto IG @patsythecorryongwonderdog

Setelah menyelamatkan biri-biri itu, Hill pergi memuji anjing tersebut dan mengambil gambarnya di atas padang yang telah terbakar.

Dia memberitahu Patsy: "Hey Patsy, nampak tak kambing biri-biri itu semua? Semua itu atas kerja kamu yang dilakukan dengan baik. Kamu adalah anjing wira."

Di tempat lain di Australia Selatan, beribu-ribu ekor koala dan kangaroo dikhuatiri mati di Pulau Kangaroo selepas kebakaran memusnahkan rizab alam semula jadi.

Dianggarkan hampir separuh bilion haiwan terbunuh di padang rumput Australia dalam kebakaran dahsyat itu dengan kebimbangan seluruh spesies akan terhapus.

Ahli ekologi dari University of Sydney percaya 480 juta mamalia, burung dan reptilia telah hilang sejak September dengan angka itu mungkin terus meningkat.

Artikel Lain