suria

Dikenali ‘malaikat pelindung’ kerajaan Saudi, ini kronologi kematian pengawal peribadi Raja Salman yang ditembak

Fagham ketika mengawal Raja Salman dalam satu majlis di Riyadh pada 2015. -foto AFP

KERAJAAN Arab Saudi berdepan khabar duka apabila pengawal peribadi Raja Salman, Jeneral Abdul Aziz al-Fagham maut ditembak.

Namun insiden itu tidak berlaku ketika Fagham sedang bertugas mengawal Raja Arab saudi, sebaliknya akibat pertengkaran peribadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Video viral sampai Arab Saudi, Raja Salman arahkan warga emas ini dan keluarganya dijemput tunai haji di Makkah

Menurut laporan, insiden berlaku di kediaman salah seorang kenalannya di Jeddah, pada malam Sabtu.

Jeneral Abdul Aziz al-Fagham ditembak mati di Jeddah. -foto REUTERS

Ketika itu, Fagham yang tidak bertugas berkunjung ke rumah kawannya itu, disusuli seorang lagi rakan lain yang dikenal pasti sebagai Mamdouh al-Ali.

Difahamkan Ali adalah kenalan Fagham dan pemilik rumah tersebut. Ketiga-tiga mereka kemudian bertengkar sesama sendiri.

Pihak berkuasa tidak mengulas lanjut tentang pertengkaran mereka, tetapi selepas bertengkar, Ali sempat keluar dari rumah tersebut.

Tidak lama kemudian, Ali kembali dan kali ini membawa pistol.

Penduduk Arab Saudi kehilangan Fagham yang dikenali 'malaikat pelindung' raja dan kerajaan Saudi. -foto AFP

Dia kemudian melepaskan tembakan ke arah orang yang berada di dalam rumah tersebut, termasuk Fagham, yang dilaporkan terkena sejumlah tembakan.

Selain Fagham, dua individu lain di dalam rumah itu juga terkena tembakan iaitu saudara pemilik rumah dan seorang pekerja dari Filipina.

Pelaku tidak melarikan diri tetapi enggan menyerah diri sehingga berlakunya adegan tembak menembak dengan polis.

Tembakannya sempat terkena lima anggota polis sebelum dia akhirnya ditembak mati.

Solat jenazah di Makkah. -foto AFP

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dengan tujuh yang lain mengalami kecederaan namun Fagham tidak dapat diselamatkan. Fagham dikebumikan di Makkah, selepas solat Isyak, Ahad.

Kematian Fahgam ternyata mengejutkan rakyat Arab Saudi kerana dia dikenali mempunyai 'darah pelindung' kerajaan.

Fagham yang mempunyai susuk tubuh tinggi kerap dilihat mendampingi Raja Salman dan sudah berkhidmat sebagai pengawal peribadi kerajaan selama 15 tahun. Dia juga pernah berkhidmat dengan Allahyarham Raja Abdullah yang memerintah Arab saudi sebelum ini.

Akhbar tempatan Okaz menyebut Fagham sebagai wira yang berjaya mendapatkan kepercayaan serta cinta dari warga Arab Saudi.

"Dia merupakan individu yang paling terkenal dari seluruh pengawal kerajaan kerana kewaspadaan serta kebijaksanaannya," menurut Okaz memetik AFP.

"Dia menghabiskan seluruh kepemimpinannya dengan kejujuran, dedikasi, dan rasa hormat," kata Menteri Negara Urusan Luar Negeri Adel al-Jubeir, memetik Arab News.

Artikel Lain