suria

2 penyebar gambar mayat Sala dihukum penjara

Gambar dirakam tertuduh ketika mayat Sala ditempatkan di bilik mayat.

PENGARAH syarikat kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dan kakitangannya dijatuhi hukuman penjara kerana menyebarkan gambar mayat pemain bolasepak Argentina, Emiliano Sala.

Kedua-dua tertuduh, Sherry Bray, 48, dan Christopher Ashford, 62, telah bertindak dengan mengedarkan gambar itu ke media sosial.

Sala maut dalam tragedi pesawat terhempas pada Januari lalu. Kejadian berlaku ketika pemain berusia 28 tahun itu dalam perjalanan dari Perancis ke Wales untuk menyertai Cardiff City.

Bagaimanapun, pesawat Piper Malibu yang dinaikinya telah terhempas di Selat Inggeris.

Sebaik mayat Sala ditemui, Bray dan Ashford yang mengakses gambarnya di bilik mayat sebelum menyebarkannya di media sosial.

Syarikat yang dikendalikan kedua-dua tertuduh mendapat kontrak untuk memantau bilik mayat berkenaan.

Kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman di Mahkamah Swindon Crown.

Pada Ogos lalu, Bray telah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menyalahgunakan komputer dan susulan itu dihukum penjara 14 bulan, manakala Ashford yang juga mengaku bersalah dikenakan hukuman penjada lima bulan.

Menerusi kenyataan kakak Sala, beliau menggambarkan pasangan itu sebagai kejam kerana tindakan menyebarkan gambar mayat adiknya.

Romina Sala berkata, keluarganya begitu terkejut apabila gambar itu mula tersebar di media sosial hanya beberapa hari selepas mayat adiknya ditemui di Selat Inggeris.

"Kami tidak akan lupakan gambar yang disebarkan itu," katanya.-metro.co.uk



Sala, Bray, Selat Inggeris, CCTV

Artikel Lain