suria

Operasi menyelamat Jamil, Mariam tular di media sosial, kini jadi tarikan terbaharu Pusat Marin Biologikal Phuket

JAMIL menjadi pilihan puteri kerabat diraja Thailand untuk menamakan seekor dugong jantan yang diselamatkan di perairan negara berkenaan baru-baru ini.

Bermaksud 'putera laut yang kacak' dalam bahasa Yawi yang digunakan muslim di selatan Thailand, Jamil diselamatkan bagi mengelak menjadi mangsa pencemaran air dan terperangkap dalam pukat yang digunakan nelayan.

Mamalia berusia tiga bulan itu ditemui bersama seekor lagi dugong betina berusia enam bulan yang dinamakan Mariam.

Penemuan dua dugong itu telah mendapat liputan meluas media di Thailand dan ia kini ditempatkan di Pusat Biologikal Marin Phuket.

Kedua-duanya yang ditemui tanpa sang ibu masing-masing dan diselamatkan pada masa serta lokasi berbeza sekitar perairan selatan Thailand yang dihuni lebih 250 dugong.

Pakar biologikal marin sedang membantu Jamil yang baru berusia tiga bulan.

Usaha menyelamatkan kedua-dua haiwan comel ini disiarkan secara langsung menggunakan lapan kamera menerusi kaedah penstriman selama 24 jam.

"Kami siarkan secara langsung kerana tidak mahu orang ramai mengganggunya dengan mengunjungi habitat terbaharu mereka," kata Pengarah Pusat Biologikal Marin Phuket, Kongkiat  Kittiwatanawong.

Beberapa jam selepas diselamatkan, Jamil kelihatan sedang berenang-renang di kolam kecil di pusat berkenaan.

Ia sesuatu yang jarang berlaku kerana biasannya dugong akan hidup berhampiran ibu mereka sehingga berusia lebih setahun.

Pakar marin berkata, minat terhadap dugong boleh membantu untuk meningkatkan kesedaran terhadap usaha konservasi laut.-scmp.com

Jamil, Marian, Phuket, dugong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain