suria

Lelaki terselamat serangan ganas beruang, dalam suasana cemas kekasih teringat cara menangkis haiwan buas

Baeur (kanan) sempat bergambar selepas diserang seekor beruang ketika mendaki gunung bersama kekasihnya. -fotoSWNS

SEORANG lelaki terselamat daripada serangan ngeri seekor beruang selepas dia melepaskan tumbukan terhadap haiwan itu atas nasihat kekasihnya.

Andi Bauer, 26, diserang oleh haiwan itu yang menggigit kaki kanannya dan menghempaskan badannya beberapa kali.

Mujurlah teman wanitanya, Lara Booth, 23, yang berjalan di belakang pada jarak kira-kira 20 kaki pernah membaca tentang bagaimana untuk menangkis serangan beruang.

Dia menjerit menyuruh Bauer 'menumbuk mata' dan lelaki itu segera mengikut arahannya.

Beruang besar itu terus melarikan diri dan Booth terpaksa meninggalkan Bauer selepas mengikat kakinya dengan stokin untuk menghentikan pendarahan untuk meminta bantuan.

Pasangan ini nekad meneruskan pendakian walaupun telah diberi amaran oleh penduduk setempat. -fotoSWNS

Kejadian berlaku ketika mereka mendaki Gunung Carpathian di Romania dan terserempak dengan beruang itu bersama dua anaknya.

"Saya sangat terkejut, jadi saya langsung tak ingat tentang kesakitan.

"Emak beruang itu tiba-tiba saja berada satu meter dari saya. Ia sangat ganas," kata Bauer.

Sebuah helikopter membawanya ke hospital di mana doktor terpaksa memasukkan rod besi ke kakinya, menggantikan tulangnya yang hancur.

Pasangan itu berkata mereka berasa bersyukur kerana dapat terus hidup.

Baeur dikejarkan ke hospital dengan helikopter. -fotoSWNS

"Dia gigit kaki saya, mencengkamnya, menyeret dan melempar badan saya. Saya menangis minta bantuan, tetapi siapa pun tak dapat buat apa-apa.

"Beruang itu membiarkan saya dan selepas Lara suruh saya menumbuknya di muka, saya melakukannya. Dia kemudiannya pergi," kata Bauer.

"Saya bernasib baik kerana mampu berdepan dengannya. Tetapi saya lebih beruntung tidak diserang," kata Booth.

Booth, dari Cambridge menambah: "Saya terus terkedu ketika pertama kali melihat beruang itu. Saya mungkin tak berguna sebab saya menjerit pada Andi sepanjang masa.

"Untuk bertenang semasa serangan seperti itu adalah sukar. Saya melakukannya sebaik mungkin.

"Kemudian saya teringat bahawa kita sepatutnya menumbuk mata beruang, jadi saya berteriak kepadanya dan beruang itu berpaling dan meninggalkannya," kata Booth.

Bauer dan booth kedua-dua pelajar PhD yang tinggal di Berlin, memutuskan untuk memulakan ekspedisi lima hari dari sebuah bandar kecil bernama Breaza selepas memandu dari Passau.

Mereka meletak kereta mereka di biara lama dan orang-orang di situ memberi amaran kepada mereka supaya tidak mendaki gunung tersebut.

Mereka tidak menghiraukannya dan meneruskan rancangan berbekalkan sebuah khemah dan beg tidur.

Selain di kaki, Baeur turut mengalami kecederaan di bahagian tangan. -fotoSWNS

Pada hari pertama mereka melihat seekor ular, cicak dan enam ekor babi hutan yang mana Baeur bergurau, "nanti kita akan jumpa beruang pula".

Pada hari kedua pasangan itu menemui seekor anak rusa yang mati dengan kesan cakaran dan mereka mula bimbang.

Tidak lama kemudian mereka melihat seekor beruang dan dua anaknya di depan tetapi sudah terlambat untuk berpatah balik.

Booth juga tidak membawa sebarang semburan kerana Bauer menganggap mereka tidak memerlukannya.

Booth terpaksa mengambil beberapa bas untuk sampai ke hospital bandar yang terletak sejauh 20 batu dari tempat kejadian dan Baeur kemudian dihantar ke Munich, di mana dia masih di hospital.

"Saya sentiasa optimis bahawa saya akan dapat bertahan. Bahkan, risiko yang lebih besar adalah helikopter tidak dapat terbang di kawasan itu," kata Baeur. -MetroUK

beruang, serang, tumbuk

Artikel Lain