Curi ayam, itik untuk minyak BMW - Dunia | mStar

Curi ayam, itik untuk minyak BMW

Seorang petani mencuri sejumlah ayam demi mendapatkan wang untuk menampung kos bahan api kereta mewah BMW. Foto Brooke Cagle/Unsplash

SEORANG petani yang kaya dari wilayah Sichuan di China ditahan, didakwa mencuri ayam dan itik dari beberapa kampung di Linshui kerana mahu membeli minyak kereta mewah BMW miliknya.

Polis di Linshui menerima laporan mengenai kecurian ayam dan itik di beberapa kampung di kawasan itu sejak April lalu.

Mereka bagaimanapun tidak menyangka dalang yang melakukan perkara terkutuk itu adalah Qiang, salah seorang petani yang terkaya di kawasan berkenaan.

Suspek tinggal di sebuah via beberapa tingkat dan memandu kereta mewah BMW bernilai AS$290,000 (RM1.2 juta).

Bagaimanapun, dia terpaksa mencuri apabila mengalami masalah kewangan sehingga mengalami kesulitan untuk mengisi minyak kereta mewahnya.

Dia kemudian mula mencuri ternakan haiwan milik orang-orang kampung, menternak di ladangnya dan menjual untuk membayar kos minyak keretanya.

Chengdu Business Daily melaporkan berdasarkan siasatan dan risikan, polis mengenal pasti dalang tersebut adalah Qiang. 

Menerusi soal siasat, petani berusia 50 tahun itu mengakui dia mencuri dan menjelaskan aktiviti tersebut dilakukan bagi mengisi minyak buat kereta mewahnya, selain mengalami masalah kewangan pada masa ini.

Tambah Qiang, hasil mencuri dan menjual ayam dan itik itu digunakan untuk perbelanjaan bulanan minyak keretanya.

Qiang ditahan dan berdepan dengan tuduhan kerana mencuri. - odditycentral


ayam , itik , BMW

Artikel Lain

Ibu Mawi meninggal dunia

Cik Puan Muda Pahang kemalangan