suria

'Bos Terbaik' taja percutian pekerja ke Mexico, Thailand selama sebulan

Kakitangan Turn Partners semasa di lapangan terbang sebelum berlepas ke Thailand.

KAKITANGAN di sebuah syarikat studio digital yang berpangkalan di Birmingham bertuah kerana dilayan bagai anak emas oleh bos mereka.

Majikan itu menaja percutian mewah kesemua sembilan kakitangan mereka di Thailand, India dan Mexico selama sebulan.

Malah kakitangan syarikat itu juga dibenarkan mengambil seberapa banyak cuti berbayar yang mereka mahukan.

Mike Bandar, 29, dan James Vardy, 31, rakan kongsi syarikat Turn Partners, dianggap sebagai 'Bos Terbaik' di Britain kerana membenarkan semua kakitangannya untuk bekerja di mana sahaja mereka mahu dan kerap kali membelanja mereka dengan percutian eksotik.

Mike semasa percutian di Mexico.

Semua kakitangannya menghabiskan waktu bekerja mereka dengan makan fajitas di pantai Mexico, bermain jet skit dan menikmati rawatan spa di Thailand.

Pada Februari lalu, Mike dan James menerbangkan sembilan kakitangan mereka untuk menikmati percutian bertaraf lima bintang ke Goa dan Mumbai, India.

Mike berkata mereka mahu kakitangan syarikatnya mempunyai kelonggaran dan menikmati kehidupan sepenuhnya kerana sebuah pasukan ceria mewujudkan suasana kerja yang positif.

"Dari semasa ke semasa kami akan membelanja pasukan kami untuk percutian panjang selama sebulan jadi kami boleh melarikan diri daripada cuaca sejuk di Britain.

"Turn Partners akan menampung segala kos percutian itu dan walaupun kami tiada di pejabat selama sebulan, kakitangan boleh datang dan pergi (ke pejabat) sesuka hati mereka," kata Mike.

Kakitangan syarikat itu turut diterbangkan ke Goa pada Februari lalu.

Syarikat itu juga turut membenarkan kakitangannya membawa bersama rakan dan juga ahli keluarga masing-masing.

Pada Februari 2018, Mike dan James membelanja semua kakitangannya percutian selama 28 hari ke Bangkok, Chiang Mai, Krabi dan Phi Phi di Thailand.

Dua tahun sebelum itu, mereka turut membayar kos percutian semua kakitangannya ke Playa del Carmen dan Tulum di Mexico selama sebulan. - Metro.co.uk

Bos Terbaik, percutian mewah

Artikel Lain