suria

Wanita ini tak pernah tahu tentang rasa sakit, tak cemas kerana ada mutasi gen

Jo Cameron.

JO Cameron hanya menyedari kulitnya terbakar apabila dia terhidu bau daging hangus.

Tangannya selalu melecur terkena ketuhar, tetapi dia tidak pernah merasai kesakitan itu.

Ini kerana Cameron, 71, merupakan seorang daripada dua orang di dunia yang diketahui mempunyai mutasi genetik yang jarang berlaku.

Ini bermakna dia tidak pernah berasa sakit dan tidak pernah rasa cemas atau takut.

Dia hanya mengetahui dirinya berbeza dengan orang lain ketika usianya 65 tahun, apabila doktor tidak percaya dia tidak memerlukan ubat tahan sakit selepas menjalani pembedahan serius.

Cameron (kiri) hanya mendapat tahu tentang mutasi gennya ketika berusia 65 tahun.

Ketika melakukan pembedahan di tangannya, doktor memberi amaran bahawa dia akan berdepan kesakitan selepas itu.

Bagaimanapun dia langsung tidak sakit, menyebabkan doktor biusnya, Dr Devjit Srivastava merujuknya kepada ahli genetik di University College London (UCL) dan Oxford University.

Selepas ujian, mereka mendapati mutasi gen yang menyebabkan dia tidak berasa sakit seperti kebanyakan orang.

Cameron, dari Whitebridge, dekat Inverness, memberitahu BBC Scotland bahawa doktor bagai tak percaya apabila dia memberitahu bahawa dia tidak memerlukan ubat tahan sakit selepas pembedahan.

"Kami sedikit bertekak sebelum dibedah apabila saya beri jaminan bahawa saya tidak memerlukan bius.

"Apabila dia mendapati saya tidak pernah mengambilnya, dia memeriksa sejarah perubatan saya dan mendapati saya tidak pernah minta ubat tahan sakit."

Selepas itulah dia dirujuk kepada pakar di England.

Cameron bersama ibu dan suaminya.

Setelah didiagnosis, Cameron sedar bahawa dia sebenarnya bukanlah 'sangat sihat', seperti yang disangkakannya.

"Mengimbas masa lalu, saya sedar bahawa saya tak perlukan ubat tahan sakit, tapi jika anda tak memerlukannya, anda tak tanya pun kenapa tak perlu.

"Anda adalah diri anda, sehingga seseorang menunjukkannya, anda tidak mempersoalkannya. Saya cuma orang yang berhati gembira yang tak sedar ada sesuatu yang berbeza mengenai saya."

Bukan itu saja, dia malah tidak sakit ketika melahirkan anak.

"Pelik juga tetapi saya tak sakit, saya agak menikmatinya," katanya.

Bagaimanapun Cameron tidak akan mengubah apa-apa, tetapi mengakui rasa sakit adalah penting.

"Rasa sakit ada sebabnya, ia memberi amaran kepada anda... anda mendengar loceng penggera.

"Adalah lebih baik ada amaran bila ada yang tak kena."

Doktor juga percaya dia dapat sembuh lebih cepat dari biasa. Gabungan gen ini juga menjadikannya pelupa dan kurang cemas.

"Ia dipanggil gen gembira atau gen pelupa. Saya menjadi orang yang menjengkelkan sebab selalu gembira dan melupakan sepanjang hidup saya, saya ada alasan sekarang," katanya.

Cameron salah seorang daripada dua manusia yang diketahui mempunyai mutasi gen seperti ini. -fotoShutterstock

Cameron berkata baru-baru ini dia terlibat dalam satu perlanggaran kecil, tetapi tidak rasa terganggu.

"Saya tidak ada adrenalin, anda mesti ada amaran itu, ia adalah sebahagian daripada manusia."

Pemandu seorang lagi, katanya, sangat menggigil tetapi dia dapat bertenang.

"Saya tiada reaksi macam tu, bukan berani cuma ketakutan itu tidak berlaku."

Para penyelidik berkata mungkin ada lebih ramai orang seperti Cameron.

Kes Camaeron adalah subjek satu kertas kerja yang diterbitkan dalam British Journal of Anesthesia, yang ditulis oleh Dr Srivastava dan Dr James Cox, dari UCL.

Dr Cox berkata: "Orang yang kurang sensitif terhadap kesakitan boleh menjadi sangat berharga dalam penyelidikan perubatan kerana kita mengetahui bagaimana mutasi genetik mereka memberi kesan bagaimana mereka mengalami kesakitan, jadi kami akan menggalakkan sesiapa yang tidak mengalami kesakitan untuk tampil. -BBC

mutasi gen, sakit

Artikel Lain