suria

Pelancong Macau maut ketika cuba rakam swafoto di Grand Canyon

Grand Canyon. - Gambar hiasan/AP Photo

SEORANG pelancong yang maut terjatuh di Grand Canyon ketika cuba merakam swafoto merupakan lelaki yang berasal dari Macau dan sedang bercuti bersama sekumpulan pelancong dari Hong Kong.

Majlis Industri Percutian Hong Kong mengesahkan pada pagi Jumaat bahawa mangsa dipercayai berusia 50-an.

ARTIKEL BERKAITAN: Jijik! Penumpang rakam video ‘selfie’ jilat mangkuk tandas pesawat

Mangsa bercuti bersama 11 lagi pelancong yang mengikuti percutian selama tujuh hari ke pantai barat Amerika Syarikat, termasuk San Francisco, Las Vegas dan Los Angeles.

Perjalanan itu ditempah dengan Perhidmatan Percutian Hong Thai Limited di Hong Kong.

Insiden itu berlaku pada hari kedua percutian mereka iaitu pada Khamis pagi waktu tempatan di Eagle Point yang merupakan lokasi popular pelancong.

Menurut laporan Associated Press, Mayat mangsa diambil menggunakan helikopyer dari ketinggian 305 meter di bawah rim pada tengah hari Khamis di Grand Canyon West.

Pengerusi Majlis Industri Percutian Hong Kong, Jason Wong Chun-Tat berkata kepada Post bahawa syarikat insurans telah menghubungi keluarga mangsa.

Namun, identiti mangsa tidak didedahkan oleh pihak berkuasa pelancongan dan imigresen. - The Star

Grand Canyon

Artikel Lain