Ikan matahari gergasi dijumpai terdampar di pesisir pantai - Dunia | mStar

Ikan matahari gergasi dijumpai terdampar di pesisir pantai

Foto National Parks South Australia

DIKENAL pasti sebagai ikan matahari laut oleh pakar, spesimen sepanjang 1.8 meter dijumpai buat pertama kali oleh sekumpulan nelayan yang memandu di sepanjang pesisir pantai.

Pada mulanya, mereka menyangka ia adalah sekeping kayu besar, kata Linette Grzelak yang memuat naik gambar bangkai ikan yang ditemui oleh pasangannya itu ke Facebook.

"Saya tidak fikir ia adalah benar sehingga saya membuat carian sunfish di Google," katanya kepada BBC.

Pasangannya, Steven Jones bekerja sebagai nelayan selama beberapa tahun tetapi tidak pernah melihat ikan matahari dalam kehidupan sebenar.

"Sebab itulah mereka mengambil gambar. Dia kata ia sangat berat dan kulitnya kasar serta keras seperti badak," katanya.

Gambar daripada Facebook National Parks South Australia.

Ikan itu ditemui di Taman Negara Coorong, 80 kilometer di selatan bandar Adelaide.

Ia dipercayai telah dihanyutkan kembali ke lautan, kata Grzelak.

Ikan matahari laut atau Mola Mola adalah spesies ikan bertulang paling berat di dunia.

Ikan itu boleh didapati di perairan laut sederhana di seluruh dunia, menurut pangkalan data Fishes of Australia.

Ciri-ciri ikan itu adalah termasuk berkepala besar dan tumpul, mulut kecil yang tidak seimbang dan sirip dorsal serta dubur yang panjang.

Seorang pakar berkata, ikan matahari itu kelihatan lebih kecil berbanding spesiesnya yang boleh membesar sehingga 4 meter dan berat lebih daripada 2,500 kilogram. - BBC

ikan matahari

Artikel Lain