suria

Lelaki bawa sperma lembu Wagyu ke Shanghai ditahan, Jepun bimbang China buat pembiakan besar-besaran

POLIS Jepun menahan seorang lelaki yang cuba mengambil bahan genetik yang mungkin boleh digunakan untuk membiakkan lembu Wagyu popular Jepun ke China.

Polis di Osaka menggeledah rumah lelaki itu, yang belum dinamakan tetapi difahamkan berusia 60-an, selepas dia cuba mengeksport telur dan sperma Wagyu Jepun ke China tahun lalu.

Lelaki itu mengambil feri dari Osaka ke Shanghai pada Julai lalu dengan membawa sebuah bekas logam yang mengandungi nitrogen cair dan beratus-ratus sampel telur dan sperma beku Wagyu, lapor akhbar Yomiuri.

Dia bagaimanapun ditahan oleh kastam China atas alasan tidak memperoleh sijil pemeriksaan kuarantin sebelum meninggalkan Jepun.

Selepas kembali ke Osaka, lelaki itu memohon kertas kerja yang sesuai daripada pegawai kastam Jepun, yang akhirnya disusuli dengan siasatan.

Pihak berkuasa kemudiannya mendakwa lelaki itu melanggar Undang-undang Kawalan Penyakit Berjangkit Haiwan Domestik, yang membawa hukuman maksimum hingga tiga tahun penjara atau denda 1 juta yen (RM36,802).

Lelaki itu memberitahu penyiasat bahawa dia tidak tahu membawa bahan genetik ke luar negara adalah salah di sisi undang-undang dan dia telah diminta oleh 'seorang kenalan' untuk menyerahkan sampel-sampel beku itu kepada seorang warga China yang akan bertemu dengannya di Shanghai.

Seorang pegawai kementerian pertanian di Tokyo memberitahu South China Morning Post bahawa ini adalah kali pertama undang-undang tersebut digunakan untuk cubaan membawa keluar bahan genetik ke luar negara secara haram.

"Baka lembu yang dikenali sebagai Wagyu adalah unik di Jepun dan kami perlu melindungi sumber genetik kami dan memeliharanya di Jepun," kata pegawai itu yang enggan disebutkan namanya.

"Kebimbangannya ialah jika ia digunakan untuk membiak lembu di China, maka negara itu akan mengembangkan industri Wagyu dan mereka boleh menjual produk mereka di mana saja di dunia, dengan nama Wagyu.

"Sesuatu yang mungkin, mereka akan mula mengeksport ke Jepun kerana kos buruh mereka adalah rendah dan mereka boleh membiak secara besar-besaran, menjadikan produk daging lembu mereka jauh lebih murah.

"Dan kita juga perlu bimbang tentang kualiti mana-mana Wagyu yang dibiakkan di negara lain kerana jika kualiti dagingnya teruk maka ia boleh merosakkan reputasi semua daging Wagyu."

Permintaan untuk daging Wagyu, yang dikenali sebagai 'Rolls-Royce of beef' melonjak dan pengeluar Jepun telah melaporkan peningkatan eksport mendadak yang telah membantu menaikkan harga untuk mencatat rekod tinggi.

Salah sebuah pasaran eksport terbesar untuk daging lembu Jepun ialah Hong Kong, di mana restoran memilih daging lembu yang mempunyai reputasi untuk cair dalam mulut.

Kunci kepada stik yang sempurna adalah tekstur lemak yang halus dan harga tinggi Wagyu.

Stik kecil di restoran teppanyaki biasa di Jepun biasanya berharga sekitar 8,000 yen (RM295) tetapi harga naik secara mendadak untuk sesuatu yang lebih dari satu set asas. -SCMP

wagyu, import, baka, sperma

Artikel Lain