suria

Polis denda seorang lelaki RM894 kerana sebut 'Allahuakbar' di khalayak ramai

Polis memeriksa salah satu lokasi serangan pengganas yang pernah berlaku di bandar Schaffhausen pada 2017. - Foto DPA

SEORANG lelaki Muslim didenda sebanyak 150 Swiss francs (RM894) di Switzerland kerana mengucapkan 'Allahuakbar' di khalayak ramai.

Lelaki berusia 22 tahun yang bernama Orhan E. itu mengucapkan seruan yang bermaksud 'Allah Maha Besar' ketika dia berjumpa dengan seorang rakannya pada bulan Mei tahun lepas.

Bimbang dengan serangan pengganas, polis di bandar Schaffhausen menghentikan lelaki itu dan menuduhnya telah menimbulkan gangguan awam.

Pihak polis mempertahankan tindakan mereka dengan mengatakan bahawa tindakan sama akan diambil jika orang lain berlari dan menjerit, lapor surat kabar tempatan Schaffhauser Nachrichten.

Orhan berkata, pihak polis memeriksa jika dia membawa senjata selepas mengungkapkan ayat itu dengan kuat.

Lelaki itu sebenarnya memberikan reaksi tersebut kerana berjumpa dengan kawannya.

Dia memberitahu 20 Minuten: "Tiba-tiba anggota polis panggil saya dan dia tanya apa maksud ayat tersebut.

"Saya diancam akan dimasukkan ke penjara jika saya tidak membayar denda itu.

"Saya dilahirkan di sini dan tidak pernah alami perkara seperti ini."

Dia didenda 150 Swiss francs dan diarahkan untuk membayar lagi 60 francs, menjadikan nilai keseluruhan adalah 210 francs.

Jurucakap polis berkata: "Ketika itu ada kemungkinan orang awam akan berasa takut."

Pegawai polis mendakwa harus memeriksa situasi tersebut kerana ayat tersebut dikaitkan dengan serangan keganasan yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. - Daily Mail

Allahuakbar

Artikel Lain