Remaja jual buah pinggang beli iPhone & iPad tujuh tahun lalu sedang menderita sakit - Dunia | mStar

Remaja jual buah pinggang beli iPhone & iPad tujuh tahun lalu sedang menderita sakit

INGATKAH lagi anda kepada seorang remaja yang menjual salah satu buah pinggangnya di pasaran gelap semata-mata untuk membeli iPhone dan iPad?

Menurut laporan media di China baru-baru ini, dia kini sedang terlantar sakit dan memerlukan penjagaan berterusan.

Lelaki itu yang kini berusia 25 tahun dan dikenali sebagai Wang, telah mengeluarkan buah pinggangnya di sebuah klinik pasaran gelap sebelum menjualnya pada harga 22,000 yuan (RM13,273) pada tahun 2011. Ketika itu dia berusia 17 tahun.

Remaja itu mahu membeli iPhone dan iPad untuk membuktikan kepada rakan sekelasnya bahawa dia seorang yang mengikut trend tetapi hakikatnya ibu bapa tidak mampu untuk membelinya.

Kisahnya nyata mengejutkan negara, sehingga iPhone dilabel sebagai 'mesin buah pinggang' oleh netizen.

Untuk mendapatkan wang, pelajar sekolah menengah itu menemui tiga orang tengah di platform sembang dalam talian di China, QQ, yang berjanji untuk membantu merealisasikan impiannya, tetapi dengan 'mengorbankan' sebelah buah pinggang.

Untuk melengkapkan transaksi, Wang mengembara dari kampung halamannya di wilayah Anhui di sebelah timur, salah satu wilayah paling miskin di China ke selatan, di wilayah Hunan pada April 2011.

Dia merancang perjalanannya secara rahsia dan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Sebaik tiba, perantara memperkenalkan budak itu kepada dua orang pakar bedah, seorang pembantu pakar bedah dan seorang jururawat yang bekerja di hospital tempatan.

Tidak lama kemudian, pembedahan dibuat di sebuah klinik untuk membuang buah pinggang kanan Wang, menurut satu laporan di CCTV.com pada masa itu.

Buah pinggang itu kemudian dijual kepada pesakit oleh orang tengah secara haram dan pesakit membayar 150,000 yuan (RM90,498) serta RM40,956) untuk organ tersebut.

Remaja itu dibayar sebanyak (RM13,273), 10 peratus dari jumlah keuntungan, sementara orang tengah mengambil majoriti wang itu.

Budak itu segera membeli iPhone 4 dan iPad 2 dengan wang tersebut sebelum pulang ke wilayah Anhui.

Ibunya hanya menyedarinya ketika dia melihat anaknya dengan produk digital baharunya. Dia tertanya-tanya di mana anaknya mendapat wang dan Wang memberitahu dia telah menjual buah pinggangnya. Ibunya kemudian membuat laporan polis.

Selepas pembedahan, kesihatan Wang semakin merosot. Dia menderita akibat ubat berkaitan buah pinggang dan kemudian tidak berupaya, menurut CCTV.com memetik laporan dari laman berita tempatan VOC.

Pada April 2012, sembilan orang yang terlibat dalam kes itu termasuk tiga orang tengah dan dua orang doktor telah didakwa oleh pendakwa raya di bandar Chenzhou di mana pembedahan itu berlaku.

Ketiga-tiga orang tengah dipenjara selama tiga hingga lima tahun dan dua doktor dipenjarakan selama tiga tahun.

Keluarga Wang diberikan pampasan 1.47 juta yuan (RM884,852) selepas mahkamah membuat keputusan pada November 2012 seperti yang dilaporkan oleh Xiaoxiang Morning Post.

Tujuh tahun kemudian selepas menjual buah pinggangnya, kehidupan Wang menjadi sangat sukar.

Lelaki itu, yang dulunya kacak dengan ketinggian 6 kaki 3 inci, kini hanya terlantar di katil dan bergantung kepada keluarga yang menjaganya, lapor laman web Cina iFeng dan Yahoo News di Taiwan.

Dia terpaksa meninggalkan pengajiannya dan hidup dengan manfaat sosial, kata artikel itu.

Dia juga dikatakan mengalami kegagalan buah pinggang dan perlu melakukan dialisis.

Produk Apple pernah menjadi alat elektronik yang paling digemari di China, tetapi harganya adalah di luar jangkauan ramai masyarakat di negara ini.

Harga untuk sebuah iPhone bersamaan dengan gaji seorang pegawai di sebuah bandar besar.

Kegilaan terhadap Apple telah menurun dengan ketara selepas munculnya produk dari beberapa firma teknologi China, seperti Huawei.

Huawei mengalahkan Apple untuk menjadi pembuat telefon pintar kedua terbesar dunia pada Ogos lalu.

Baru-baru ini, satu fenomena anti-Apple telah dilihat di negara ini selepas eksekutif Huawei ditahan Disember lalu di Kanada atas permintaan Amerika Syarikat.

Banyak syarikat China dilaporkan menghukum kakitangan yang ingin membeli produk Apple dan memberi ganjaran kepada mereka yang menggunakan telefon bimbit Huawei. -Mail Online

iphone , iPad , buah pinggang , China , sakit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel