Lelaki paling kaya di dunia, pengasas Amazon Jeff Bezos dan isteri bercerai - Dunia | mStar

Lelaki paling kaya di dunia, pengasas Amazon Jeff Bezos dan isteri bercerai

Jeff Bezos (kiri) dan MacKenzie Bezos mengumumkan penceraian mereka. Foto AP

PENGASAS Amazon, Jeff Bezos yang diiktiraf sebagai individu paling kaya di dunia mengumumkan bercerai dengan isterinya, Mackenzie Bezos di Twitter pada Rabu, selepas lama tinggal berasingan.

"Kami mahu semua orang mengetahui tentang perkembangan dalam kehidupan kami," kata Jeff Bezos, 54, dan Mackenzie Bezos, menerusi kenyatan bersama di akaun Twitter Jeff.

"Seperti yang diketahui keluarga dan teman-teman rapat, selepas tempoh lama berkasih sayang dan percubaan untuk tinggal berasingan, kami memutuskan untuk bercerai dan meneruskan kehidupan sebagai kawan," kata mereka.

Pasangan itu berkata, mereka berasa sangat bertuah di atas perhubungan selama 25 tahun dan akan terus berhubung antara satu sama lain sebagai kawan rapat dan ibu bapa.

Mackenzie Bezos merupakan penulis kepada dua buku, termasuk 'The Testing of Luther Albright', sebuah novel psikologi mengenai cabaran yang dihadapi seorang bapa dan keluarganya di Sacramenton, California selepas satu kejadian gempa bumi.

Dia merupakan salah seorang daripada pekerja Amazon yang terawal semasa ia ditubuhkan.

Pasangan yang mempunyai empat anak itu, bertemu semasa bekerja di pusat dana lindung nilai, DE Shaw sebelum Bezos menubuhkan Amazon.

Jeff Bezos dinilai sebagai lelaki paling kaya di dunia oleh Forbes dan Bloomberg, dengan kekayaan dianggarkan kira-kira AS$137 bilion (RM562.41 bilion). - AFP

Jeff Bezos , MacKenzie Bezos , Amazon

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ratusan hadiri pengebumian Faziani