suria

Gajah tidak cukup berat, tulang timbul tetap dipaksa buat aksi sarkas untuk hiburkan penonton

Jurucakap zoo meyakinkan bahawa keadaan gajah-gajah di ladang itu semuanya sihat. - Viral Press

SEEKOR gajah yang kekurangan berat badan telah dirakaman melakukan latihan persembahan di sebuah zoo yang kelihatan kosong.

Gajah betina dewasa itu dilihat melakukan aksi tersebut di ladang buaya yang terletak di Samut Prakan, Thailand dengan ditonton oleh beberapa orang pengunjung pada Jumaat.

Tulang haiwan mamalia itu yang jelas kelihatan cuba menyeimbangkan badannya pada dua meja kayu sebelum diturunkan dan berjalan di atas tali logam yang tegang.

Gajah tersebut berhenti di tengah-tengah, berpusing dan berjalan kembali.

Rangka haiwan itu menunjukkan bahagian pelvis dan bahunya timbul serta kulitnya pula nampak menggeleber.

Aksi itu menimbulkan kebimbangan seorang pengunjung yang melawat ke Ladang dan Zoo Buaya Samutprakarn tersebut.

Individu yang merakamkan klip itu tetapi enggan dikenali berkata: "Saya telah melawat zoo itu sejak dahulu kerana saya suka melihat haiwan.

Gajah itu melakukan persembahan di hadapan beberapa orang pelawat. - Viral Press

"Tetapi ketika saya melawat zoo itu pada minggu lalu, saya kecewa ketika melihat keadaan salah satu gajah mereka.

"Gajah tersebut kelihatan sangat kurus dan lemah, saya berasa sangat kasihan kepadanya, saya fikir dia memerlukan bantuan.

"Saya tidak mahu mengatakan apa-apa yang tidak baik ke atas zoo itu, kerana mungkin ada  masalah dan mereka tidak mampu untuk menjaga gajah tersebut.

"Saya ingin orang ramai membantu gajah itu."

Jurucakap zoo itu berkata bahawa semua gajah di taman itu dalam keadaan "baik".

Beliau berkata: "Tidak, tidak, tidak, gajah-gajah di sini semuanya sihat, semuanya baik, tidak ada yang kurus.

"Mereka semua makan dengan baik, mereka membuat persembahan pada setiap hari." - Mirror UK

gajah

Artikel Lain