suria

Pramugari sedang bertugas menyusu bayi tak dikenali menangis dalam pesawat

Patrisha Organo menganggap pengalaman menyusukan bayi yang tidak dikenali ketika bertugas di udara sangat istimewa. -foto Mercury Press & Media

SEORANG pramugari bertindak menyusukan bayi yang menangis gara-gara susu formulanya habis sejurus pesawat berlepas.

Patrisha Organo, 24, sedang bertugas dalam penerbangan awal pagi dari Filipina apabila dia mendengar tangisan bayi yang sangat kuat.

Pramugari itu yang mempunyai bayi berusia sembilan bulan terus menuju ke arah ibu bayi berkenaan untuk memberikan bantuan.

"Sebaik sahaja saya mendengar bayi menangis, saya tahu ada sesuatu yang mungkin saya boleh buat untuk membantu.

"Apabila ibunya beritahu saya bahawa dia tidak mempunyai susu formula dan saya tahu dalam penerbangan tak ada seorang pun yang membawa susu, saya tahu saya harus membantu.

"Saya menawarkan susu badan saya sendiri, kerana saya memang menyusukan anak saya.

"Ibu bayi itu sangat berterima kasih kerana saya membantu, dia telah berada di lapangan terbang sejak pukul 9 malam, malam sebelumnya.

"Sebaik sahaja bayi itu mula menyusu, saya dapat lihat kelegaan di mata ibunya dan anak perempuannya akhirnya tertidur."

Patrisha mempunyai anak berusia 9 bulan. -fotoMercuryPress&Media

Pramugari itu berkata dia tahu apa yang akan dilalui oleh seorang ibu, terutama ketika penerbangan baru sahaja berlepas.

"Sebagai seorang ibu saya sendiri tahu bagaimana tekanan yang harus dilalui.

"Saya dapat bayangkan perasaan ini. Bila kita tak dapat memberi makanan kepada anak yang sedang lapar adalah satu 'mimpi ngeri', jadi saya terpaksa bantu.

"Dia telah berada di lapangan terbang sejak malam sebelum itu dan susunya telah habis ketika penerbangan sebenar, menyebabkan bayi itu menangis.

"Sebaik sahaja saya dapat membantu bayi itu dan ibunya, saya berasa sangat gembira, tak dapat diungkapkan dengan kata-kata."

Pramugari itu berkata wanita berkenaan sangat berterima kasih kepadanya kerana ikhlas membantu.

"Saya tahu penerbangan ini begitu istimewa buat diri saya kerana saya baru sahaja dinaikkan pangkat, tetapi saya tak sangka ia akan seistimewa ini.

"Saya menyusu bayi yang tidak dikenali dalam penerbangan dan saya sangat bersyukur mempunyai susu ibu pada masa yang amat diperlukan."-MetroUK

pramugari, susu badan, susu formula

Artikel Lain