suria

Renjer maut ditembak di pasar malam

Suasana di salah sebuah pasar malam yang terletak di Pattani. - Gambar hiasan/ Facebook Hussien Hashim

PATTANI: Seorang anggota Renjer maut manakala seorang lagi cedera parah akibat ditembak individu tidak dikenali di sebuah pasar malam di daerah Yaring, wilayah bergolak Pattani di selatan Thailand.

Penolong Ketua Polis daerah Kapten Jettarin Jetanurak berkata, kejadian berlaku ketika mereka sedang mengawal keselamatan pasar malam itu di Kampung Tanjung Dalo, kira-kira 6 petang waktu tempatan pada Jumaat.

"Kedua-dua mangsa berusia 22 dan 23 tahun ditembak daripada jarak dekat dengan pistol 9mm, " katanya kepada pemberita pada Sabtu dan menambah, salah seorang mangsa kemudiannya meninggal dunia di hospital berhampiran.

Mangsa kedua pula dilaporkan dalam keadaan parah dan tidak sedarkan diri, katanya.

Jetanurak berkata,  kejadian berlaku ketika pasar malam itu sibuk dengan orang ramai sedang membeli-belah barangan keperluan.

Katanya, kejadian dipercayai dilakukan empat penyerang yang tiba di lokasi kejadian menggunakan dua buah motosikal, dengan dua daripada mereka mendekati anggota Renjer itu sebelum melepaskan beberapa das tembakan.

Dua lagi penyerang bertindak melarikan senapang M-16 dibawa anggota Renjer itu yang rebah berlumuran darah, katanya.

Pihak berkuasa menemui tiga kelongsong peluru 9mm di lokasi kejadian. - Bernama

Artikel Lain