suria

Saat manis hanya sementara! Pramugari hilang kerja selepas dilamar dalam pesawat

SEORANG pramugari hilang pekerjaan selepas dia dilamar dalam penerbangan.

Bekas majikannya, China Eastern Airlines, berkata wanita berkenaan telah meninggalkan tugasnya.

Rupa-rupanya, dengan menerima lamaran tersebut dia secara tidak langsung dianggap membahayakan keselamatan penumpang.

Tindakan yang dikenakan terhadap pramugari ini telah menimbulkan perdebatan di media sosial.

Pada Mei, sebuah video yang menunjukkan teman lelaki kepada seorang atendan penerbangan membuat lamaran di atas pesawat tular.

Para penumpang merakamkan saat-saat manis ini dengan telefon bimbit mereka dan nampaknya mereka tersentuh dengan tindakan romantis kekasih pramugari berkenaan.

Tetapi selepas lamaran itu, keadaan tidak seperti apa yang disangkakan mereka.

Menurut Channel 8 News, petugas penerbangan itu sebenarnya telah dibuang kerja.

Saluran itu melaporkan bahawa petugas penerbangan itu telah dipecat kerana dengan menerima lamaran teman lelakinya, dia telah mengabaikan keselamatan penumpang.

China Eastern Airlines, syarikat penerbangan tempat dia bertugas berkata lamaran itu dibuat ketika dalam penerbangan, yang bermaksud terdapat gangguan tidak bertanggungjawab dan menjejaskan keselamatan penumpang.

Asia One melaporkan bahawa warga China telah berdebat ke atas isu itu dengan beberapa orang berpandangan reaksi syarikat penerbangan itu adalah 'berlebih-lebih' dan tidak berhati perut.

Bagaimanapun ada yang bersetuju dengan keputusan itu, kerana urusan persendirian tidak sepatutnya dibuat semasa waktu kerja.

Tugas sebagai atendan penerbangan agak sukar. Mereka berdepan syif kerja yang panjang dan pada waktu kerja yang luar biasa serta sentiasa tertakluk kepada semua kesan negatif kerana terlalu lama dalam pesawat, seperti radiasi.

Kajian juga menunjukkan bagaimana gangguan seksual menjadi satu masalah besar dalam industri. Sebanyak dua pertiga daripada atendan penerbangan telah mengalami gangguan seksual sepanjang kerjaya mereka.

Oleh itu, walaupun lamaran tersebut mungkin menceriakan hari pramugari berkenaan, untuk jangka masa panjang ia mungkin bukan idea terbaik untuknya. -MSNnews

lamar, pramugari, pecat

Artikel Lain