suria

Bayi bermata satu, tak ada hidung lahir di Indonesia

-foto Liputan 6

SEORANG bayi dilahirkan dengan satu mata dan tiada hidung di Mandailing Natal, Sumatera Utara, Indonesia, dan para doktor menjangkakan peluangnya untuk terus hidup tipis.

Agensi Kesihatan Kabupaten Mandailing Natal mengesahkan bahawa bayi itu dilahirkan pada Khamis mengalami kecacatan yang mengakibatkan komplikasi pernafasan yang teruk.

"Sekarang hospital membekalkan oksigen melalui mulut bayi," kata ketua agensi kesihatan Syarifuddin Nasution kepada media, memetik Liputan 6.

Malangnya, para doktor tidak yakin bahawa bayi itu dapat bertahan lama.

"Dalam kes yang sama, (kadar survival) satu hingga tiga hari. Tetapi terdahulu, doktor berkata bahawa kita perlu bersyukur (jika dia hidup selama lima jam). Keadaannya secara umum dia mempunyai komplikasi pernafasan dan jantung. Denyut jantungnya adalah di bawah 100," katanya.

Doktor merancang memantau keadaan bayi ini untuk beberapa hari akan datang dengan matlamat memindahkannya ke hospital di Medan yang jaraknya 515 km.

Menurut CNN Indonesia punca kejadian itu masih belum diketahui secara jelas, tetapi menurut doktor ia mungkin berlaku disebabkan virus rubella atau kerana ubat-ubatan dan mungkin juga akibat merkuri.

"Jika dikaitkan dengan pekerjaan bapa bayi sebagai pelombong, boleh jadi. Kita masih belum mendapat informasi penuh keluarganya," kata Syarifuddin.

Bagaimanapun laporan media-media tempatan menyatakan bahawa bayi tersebut hanya bertahan sekitar lapan jam selpas dilahirkan.

Kelahiran bayi bermata satu juga pernah berlaku di Mesir tahun 2015. Bayi tersebut lahir di sebuah hospital swasta di sebelah timur laut kota El Senbellawein, di Mesir.

Ketika itu, doktor menyebut kondisi yang disebut sebagai cyclopia. Ini adalah satu keadaan perubatan luar biasa yang dinamakan dari kisah raksasa bermata satu dalam mitologi Yunani.

Nama cyclopia diambil dari mitos pengembala raksasa yang tinggal di Sisilia. Raksasa itu memiliki satu mata bulat yang besar di tengah dahi.

Cyclopia dikatakan berpunca oleh paparan radiasi di dalam rahim.

Bayi-bayi yang lahir dengan kondisi ini pada umumnya meninggal setelah lahir. Mata hanya satu dan tanpa hidung disebabkan oleh soket mata bayi yang tidak terbentuk dengan sempurna di dalam rahim.

mata satu, tiada hidung, merkuri

Artikel Lain