suria

Netizen puji pasar raya di Korea sebab 'pintar' jual pisang

Gambar hiasan

SEBUAH pasar raya di Korea Selatan telah melancarkan satu bentuk pembungkusan pisang yang baharu dan ia dianggap 'pintar' oleh netizen.

Ramai yang mungkin berpandangan bahawa pisang tidak perlu dijual dalam pembungkusan plastik, memandangkan buah itu sudah tumbuh dalam tandannya secara semula jadi.

Bagaimanapun, ramai juga yang kagum apabila mengetahui tentang cara bungkusan pisang di pasar raya berkenaan yang dianggap inovatif, yang mana satu bungkusan yang terdiri daripada enam biji pisang disusun cantik mengikut tahap ranum.

Dengan cara ini, seseorang boleh mengelak daripada membeli setandan atau seikat pisang yang terlalu masak atau pisang berwarna hijaun yang langsung tidak masak sama sekali.

Di laman web E-Mart, pelanggan digalakkan untuk makan sebiji pisang sehari, bermula dengan pisang yang paling ranum dan diikuti lima lagi pisang lain pada hari-hari berikutnya.

Seorang pengguna di Twitter telah menggambarkan produk ini sebagai 'satu kerja pintar' dengan pengguna lain menyatakan bahawa ia adalah 'penyelesaian praktikal untuk pembaziran makanan.'

Bagaimanapun, terdapat juga individu lain yang kurang senang dengan idea itu, mengutuk pasaraya berkenaan yang memutuskan untuk membungkus pisang dalam bungkusan plastik.

"Daripada memasukkannya ke dalam paket plastik bodoh, tidak bolehkah pasaraya hanya menyimpan stok untuk tiga gred pisang yang dipisahkan dari tandannya dan anda hanya perlu memilih dua biji pisang dari setiap gred? Terlalu mudah," tulis seorang pengguna Twitter.

"Satu lagi kemenangan untuk industri pembungkusan plastik," kata seorang lagi pengguna. "Gila."

Pada Disember, diumumkan bahawa petani di Jepun telah berjaya menanam pisang dengan kulit yang boleh dimakan.

'Mongee Banana' berharga £4.20 untuk setiap biji pisang kerana permintaan yang tinggi. -Independent

pisang, Korea, bungkusan

Artikel Lain