suria

Lapan maut, pesawat hilang di Papua ditemui terhempas

Gambar daripada AFP.

JAKARTA: Sebuah pesawat kecil PAC750 XSTOL milik Dimonim Air, yang dilaporkan hilang pada Sabtu, ditemui terhempas di kawasan pergunungan di Papua.

Menurut Ketua Devisi Hubungan Masyarakat Polis Indonesia Insp Jeneral Setyo Wasisto pesawat berkapastiti 10 penumpang yang dinaiki sembilan orang itu, ditemui pasukan penyelamat kira-kira 9 pagi tadi di kawasan Pergunungan Bintang, Provinsi Papua.

Lapan disahkan terbunuh iaitu enam penumpang, seorang juruterbang dan seorang pembantu juruterbang, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Tanah Merah Kabupaten Boven Diguel menuju lapangan terbang Oksibil, Kabupaten Pegunungan Bintang pada jam 1.50 tengah hari Sabtu waktu tempatan.

Pesawat itu dilaporkan berhubung dengan menara lapangan terbang Oksibil pada jam 2.17 petang sebelum dilapor terputus hubungan.

Pesawat Dimonim Air sepatutnya tiba di Bandara Oksibil pada pukul 2.30 petang Sabtu waktu Indonesia Timur.

Menurut laporan, penduduk Kampung Okatem, Oksibil  telah terdengar bunyi dentuman kuat di kawasan pergunungan berdekatan kampung itu petang Sabtu.

Berdasarkan maklumat syarikat penerbangan Dimonim Air, pesawat itu dinaiki sembilan orang iaitu  juruterbangnya, kapten Lassie dan pembantu juruterbang, Wayan Sugiarta, manakala tujuh penumpang pula dikenali sebagai Sudir Zakana, Martina Uropmabin, Hendrikus Kamiw, Lidia Kamiw, Jamaludin, Naimus dan Jumai.

Menurut laporan media tempatan pada Ahad, penumpang yang selamat dalam nahas itu ialah Jumai, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, namun keadaannya belum diketahui.

Pasukan penyelamat dilaporkan masih berusaha untuk membawa keluar semua mangsa dari kawasan pesawat itu terhempas. - Bernama

pesawat terhempas

Artikel Lain