suria

Tasik bawah tanah ditemukan di Marikh

Imej yang dilakar oleh artis dari kapal angkasa Mars Express. - AP

NEW YORK: Para saintis berkata mereka telah menemui sesuatu kelihatan seperti sebuah tasik bawah tanah di Marikh, menandakan kali pertama air dijumpai di planet itu, lapor Agensi Maklumat Macedonia (MIA).

Penemuan yang dilaporkan pada Rabu itu menimbulkan kemungkinan bahawa terdapat hidupan di planet tersebut.

Scott Hubbard, seorang profesor di Universiti Stanford yang juga pengarah program pertama Marikh NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika) pada tahun 2000, menyifatkan penemuan itu sebagai "begitu mengujakan," lapor Associated Press (AP).

Kajian itu, yang disiarkan dalam jurnal Sains, adalah berdasarkan isyarat radar selama tiga tahun dari kapal angkasa Mars Express milik Agensi Angkasa Lepas Eropah.

Data kajian mencadangkan kawasan takungan tasik garam seluas 12 batu di bawah ais itu terletak di kutub selatan planet tersebut.  

Para penyelidik menghabiskan masa dua tahun meneliti data itu bagi memastikan bahawa apa yang mereka kesan adalah air dan bukan ais atau sesuatu yang lain, lapor AP.

Kirsten Siebach, seorang penyelidik dari Universiti Rice yang tidak mengambil bahagian dalam kajian itu, memberitahu AP bahawa cuaca yang sejuk dan kemasinan melampau bukanlah keadaan yang ideal untuk hidupan, namun mikrob mampu menyesuaikan diri dalam situasi yang sama di Bumi.

Pada 4 Mei, NASA telah melancarkan kenderaan pertamanya ke Marikh iaitu sebuah pesawat tanpa pemandu dinamakan InSight, yang akan meneroka planet merah itu dan menggerudi permukaannya.  

Ia dijangka tiba di planet itu pada November. - Bernama

Marikh

Artikel Lain