suria

27 hilang, dikhuatiri maut dalam kejadian tanah runtuh di lombong

Pasukan penyelamat melihat ke arah lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku di lombong jed Hpakant. - Facebook/Moe Moe

NAY PYI DAW: Sekurang-kurangnya 27 orang dikhuatiri terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di tapak perlombongan jed Hpakant, negeri Kachin, lapor Bernama yang memetik akhbar berbahasa Inggeris Myanmar Times.

Hanya satu mayat berjaya ditemukan setakat ini, kerana kesukaran usaha menyelamat disebabkan keadaan permukaan tanah yang tidak rata dan berbatu. 

Anggota Majlis Perbandaran negeri Hpakant, Dashi La Seng berkata kejadian berlaku pada Selasa berhampiran Kampung Mat Lin Chaung di wilayah perlombongan jed Hpakant.  

Jumlah sebenar mangsa tertimbus tidak diketahui, dengan beberapa penduduk mengatakan seramai 40 pelombong kemungkinan terperangkap dalam kejadian yang dicetuskan oleh hujan lebat itu.

"Kerja-kerja menyelamat masih diteruskan di tapak runtuhan sedalam 1,000 kaki. 

"Jentera diperlukan bagi membolehkan anggota menyelamat sampai ke tapak runtuhan," katanya.  

Lombong jed di Kachin. - AFP

Pengerusi Liga Demokrasi Nasional di Hpakant, U Shwe Thein berkata, tidak banyak yang dapat dilakukan anggota penyelamat.

''Mereka terpaksa menggali dan kemudian digenangi air. Sukar untuk jentera masuk di samping faktor runtuhan susulan yang perlu diambil kira," tambah U Shwe Thein.

Mangsa kebanyakannya terdiri penduduk etnik Rawan dari kampung Shansu, Maklinchaung, Mamone, Hpapyin dan Sapot.

Menurutnya, undang-undang perlombongan baharu yang mengenakan peraturan lebih ketat perlu digubal untuk mengelakkan insiden meragut nyawa berulang.

Kira-kira 500 orang maut akibat tanah runtuh di lombong jed sejak 2014 , menurut laporan Institut Kemanusiaan dan Yayasan Pembangunan Sosial Kebangsaan Kachin.

Pada 14 Julai, timbunan batu besar runtuh di lombong batu permata di kawasan kampung berhampiran Lone Khinn, membunuh sekurang-kurangnya 22 orang.

lombong, tanah runtuh

Artikel Sebelum

Tasik bawah tanah ditemukan di Marikh

Artikel Berikut

Artikel Lain