Netizen bersengkang mata di Youtube, tonton remaja robot ketagih membaca - Dunia | mStar

Netizen bersengkang mata di Youtube, tonton remaja robot ketagih membaca

Paparan skrin video Youtube Bot-No-Jam

MENJADI individu yang berjaya di YouTube biasanya melibatkan kandungan bermaklumat atau menarik.

Tetapi seorang remaja di Korea Selatan telah membuktikan bahawa melakukan perkara bertentangan dapat memberikan hasil yang menakjubkan.

Dia hanya menyiarkan video dirinya sedang membuat ulang kaji secara senyap selama 7 jam dan masih berjaya mendapatkan beratus-ratus ribu 'subscribers' dalam masa beberapa bulan.

Bot-No-Jam bukan seperti kisah kejayaan di YouTube yang biasa.

Pemuda misteri ini telah menemui 'rahsia' yang kebanyakan kita tidak akan percaya bahawa ia boleh menjadi begitu popular, iaitu belajar atau mengulang kaji pelajaran.

Lebih menakjubkan, cara belajarnya langsung tidak menarik, sebaliknya dia hanya duduk lama di kerusi, membaca dan mengambil nota dalam suasana sunyi sepi selama beberapa jam pada suatu masa.

Tanpa disangka-sangka dan entah bagaimana, orang ramai suka melihat dia membaca!

Saluran Bot-No-Jam telah mendapat hampir 330,000 'subscribers' sejak April.

Bot-No-Jam (robot yang tiada kegembiraan) pertama kali memuatkan video 'Study with Me' di YouTube pada Jun 2017, tetapi hanya mula menambah kandungan baharu ke salurannya lebih kurang dua bulan lalu.

Lebih 10 video menunjukkan remaja itu duduk di bangku, membaca pelbagai buku panduan dan mengambil nota.

Dia tidak pernah bercakap, jarang bangun dari kerusinya dan fokus sepenuhnya kepada apa yang dibaca. Percaya atau tidak, kebanyakan videonya berdurasi hampir 7 jam.

Sukar untuk dipercaya, tapi Bot-No-Jam agak sensasi di media sosial di Korea Selatan.

Bukan sahaja videonya mendapat beratus-ratus ribu tontonan, dengan banyak peminatnya sanggup bersengkang mata menghabiskan berjam-jam melihatnya belajar di skrin komputer atau telefon bimbit masing-masing, malah ada yang membuat akaun Twitter di mana mereka menyiarkan gambar paparan skrin Bot-No-Jam.

Akaun yang paling popular adalah 'Everything about Bot-No-Jam' yang mempunyai hampir 4,200 pengikut.

Kisah dirinya yang ketagih belajar juga dipaparkan di program pagi stesen TV Korea SBS, 'Morning Wide' di mana dia mendedahkan bahawa dia mendapat ilham nama samarannya di YouTube ketika berada di sekolah tentera.

"Orang biasanya panggil saya robot ketika saya di sekolah tentera. Saya jangka tak ada siapa yang akan tengok saya belajar sepanjang hari, jadi saya tambah perkataan 'No-Jam' pada nama YouTube saya."

Bot-No-Jam juga memberitahu dia sedang belajar bersungguh-sungguh untuk lulus peperiksaan menjadi pegawai polis, tetapi dia tidak menyatakan sama ada dia akan terus menstrim jika dia lulus.

Sesetengah orang menyifatkan kejayaan Bot-No-Jam disebabkan wajah kacaknya, tetapi ada juga berpandangan bahawa kandungannya menarik.

"Saya tak pernah tengok video yang begitu menarik dalam hidup saya," tulis seseorang di YouTube.

Bot-No-Jam , ulang kaji

Lebih Artikel