suria

Lupakan Putera Harry, sepupunya masih solo!

Gambar daripada Vanity Fair.

SELEPAS Putera Harry mendirikan rumah tangga dengan permaisuri hatinya, Meghan Markle pada Sabtu, tumpuan para wanita kini beralih kepada sepupu Duke of Sussex iaitu Louis Spencer (gambar).

Louis Spencer atau Louis Frederick John Spencer, Viscount Althorp ialah anak kepada Charles Spencer yang merupakan Earl Spencer kesembilan dan juga abang kepada Puteri Diana.

Secara teknikalnya, Louis bukanlah seorang kerabat diraja, namun dia seorang aristokrat dan sepupu kepada Putera Harry serta bakal mewarisi rumah agam yang memiliki 90 bilik yang dipanggil Estet Althorp.

Kehadirannya disedari ketika menghadiri perkahwinan tersebut di Istana Windsor, beliau hadir bersama keluarganya.

Dari kiri: Eliza Spencer, Louis Spencer, Victoria Aitken dan Kitty Spencer ketika menghadiri perkahwinan diraja pada Sabtu lalu.

Louis ialah antara 200 tetamu yang bertuah untuk ke 'after party' perkahwinan Putera Harry di Rumah Frogmore.

Pemuda berusia 24 tahun itu merupakan graduan dari Edinburgh dan menurut sumber yang belajar di sana, penampilan Louis disifatkan sebagai sangat menarik dan pernah memiliki teman wanita ketika masih bergelar mahasiswa.

Namun, berita baik adalah beliau kini berstatus solo dan anda mungkin boleh mencarinya di laman aplikasi temu janji, Bumble jika anda berpusat di London, United Kingdom.

Menurut laporan The Tab UK, Louis merupakan sepupu Putera William dan Putera Harry, dan mereka bertiga sangat rapat.

Louis membesar di Cape Town, Afrika Selatan dan Putera Harry akan melawatnya di sana jika berkunjung ke bandar itu.

Keluarga Spencer adalah antara keluarga aristokrat yang popular di UK.

Dua daripada anggota keluarga itu ialah bekas perdana menteri Britain ketika Perang Dunia Kedua iaitu Sir Winston Churchill dan Puteri Wales, Puteri Diana.

Impian untuk mengenali jejaka ini lebih dekat mungkin sukar kerana beliau tidak mempunyai sebarang laman sosial, kecuali kakaknya, Kitty.

Sekali-sekala, Kitty, 27, akan memuat naik gambar Louis.

Louis Spencer

Artikel Lain