suria

ATSB tolak teori juruterbang MH370 sengaja junam pesawat

CANBERRA: Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menolak teori sebuah buku hasil tulisan bekas seorang penyiasat nahas udara Kanada bahawa juruterbang MH370 sengaja menjunamkan pesawat berkenaan.

Buku tulisan Larry Vance, 'MH370: Mystery Solved' mendakwa juruterbang terbabit mempunyai kawalan ke atas pesawat ketika saat akhir insiden dan dengan sengaja mahu membunuh diri.

"Juruterbang tersebut mahu membunuh diri, malangnya dia turut membunuh kesemua penumpang dan ia dilakukan dengan sengaja," ujar Vance dalam program 'Australia's 60 Minutes'.

Beliau turut mendakwa kesimpulan siasatan ATSB berkenaan saat akhir insiden adalah salah.

Bagaimanapun, pengarah carian ATSB, Peter Foley menegaskan penyiasat biro telah meneliti segala kemungkinan dan analisis yang ada.

"Kami meneliti setiap bukti yang ada pada masa itu dalam cara yang tidak berat sebelah," kata Foley dalam sesi pendengaran parlimen di Canberra, sambil menambah bahawa beliau telah membaca buku tulisan Vance.

Beliau berkata pesawat itu tidak berada dalam kawalan sesiapa apabila terjunam ke dalam air dan analisis transmisi satelit saat akhir pesawat menunjukkan, pesawat menjunam dalam keadaan laju sehingga ke akhirnya.

Pesawat MH370 dengan 239 penumpang hilang dari radar dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Operasi pencarian pesawat tersebut membentuk salah satu pencarian permukaan dan bawah air terbesar dalam sejarah penerbangan.

Sebuah firma swasta AS, Ocean Infinity memulakan pencarian baharu awal tahun ini namun setakat ini tiada sebarang petunjuk diperolehi. - BBC


ATSB, MH370

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain