suria

Selepas dirogol, dibakar hidup-hidup depan keluarga

SELEPAS dirogol secara berkumpulan, remaja perempuan itu dibakar hidup-hidup di depan keluarganya di perkampungan daerah Jharkhand Chatra.

Ahli keluarga mangsa mendakwa ketua kampung telah meminta suspek membayar Rs50,000 kepada keluarga mangsa, selain didenda melakukan sit-ups, demikian lapor agensi berita ANI.

"Ketua kampung itu berkata kejadian itu boleh diselesaikan dengan suspek membayar Rs50,000 kepada keluarga mangsa dan melakukan sit ups," katanya.

Bagaimanapun, permintaan ketua kampung itu telah menyebabkan suspek berang dan terus ke kediaman mangsa dan bertindak kejam membakar remaja itu.

Setakat ini, seorang suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut, kata pegawai di daerah itu, Jitendra Singh.

Media tempatan melaporkan, remaja itu diculik empat pemuda berdekatan kediamannya dan dirogol ketika ahli keluarganya menghadiri majlis perkahwinan.

Insiden pada Jumaat itu berlaku di kampung Rajakendua yang dikendalikan balai polis daerah Chatra, iaitu kira-kira 160 kilometer dari ibu negeri Ranchi.

Kes berkenaan telah dilaporkan di balai polis Itkhori dan pihak keselamatan kini sedang memburu semua suspek kes berkenaan.-IndiaToday

Chatra, Rajakendua

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain