suria

Berempat Naik Motosikal Depan Balai Polis, Apa Nasib Mereka?

-foto Facebook

KANAK-kanak bawah umur menunggang motosikal terlalu biasa dilihat di Indonesia, dengan ibu bapa dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang sering dipersalahkan.

Tetapi polis tidak selalu membiarkan kumpulan kanak-kanak bawah umur ini terlepas.

Baru-baru ini, satu video tular menunjukkan seorang polis menahan empat kanak-kanak lelaki menaiki sebuah motosikal di Pematangsiantar, Sumatera Utara, selepas mereka melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah balai polis.

Berdasarkan pakaian seragam sekolah mereka, tiga daripadanya masih bersekolah rendah manakala seorang lagi sekolah menengah.

Bukan hanya bawah umur dan sudah pasti tidak mempunyai lesen, tiada seorang pun daripada mereka memakai topi keledar.

Bagaimanapun, tidak diketahui apa yang berlaku kepada empat kanak-kanak ini selepas video itu tular, tetapi pemandu/penunggang kanak-kanak yang melakukan kesalahan biasanya terlepas hukuman.

Contoh paling dekat adalah kes anak lelaki penyanyi Ahmad Dhani yang kini menjadi ahli politik yang memandu sebuah kereta sport secara haram ketika berusia 13 tahun dan membunuh tujuh orang dalam kemalangan yang mengerikan.

Dia akhirnya tidak dipersalahkan begitu juga bapanya yang menghadiahkannya kereta sport yang dipandunya.

Dua tahun yang lalu, seorang wanita memulakan petisyen dalam talian menggesa ibu bapa yang membiarkan anak-anak di bawah umur mereka memandu dipenjara, setelah seorang kanak-kanak yang menunggang motosikal membunuh seorang budak lelaki berusia tiga tahun dalam satu kemalangan.

Walaupun petisyen itu mendapat banyak sokongan, tidak ada undang-undang seperti itu yang telah diluluskan. -coconuts

topi keledar, lesen

Artikel Lain