suria

NACC Serah Surat Ke-4, Prawit Masih Gagal Jelas Isu Jam Tangan Mewah

KONTROVERSI isu jam tangan mewah milik Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan masih berlarutan apabila pemimpin ini masih belum memberi penjelasan terperinci berhubung perkara itu.

Terkini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Thailand  (NACC) mengesahkan pihaknya telah mengemukakan permohonan kali keempat kepada Prawit supaya menjelaskan isu pemilikan sejumlah besar jam tangan mewah itu.

Setiausaha Agung NACC, Worawit Sukboon berkata, awal minggu ini beliau telah menandatangani surat meminta Prawit menyediakan maklumat berhubung perkara itu selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Surat keempat ini perlu diserahkan kepada Prawit kerana sehingga kini NACC masih tidak menerima maklumat yang diperlukan selepas tiga kali membuat permintaan supaya dijelaskan mengenai pemilikan jam dan pengisytiharan aset terkininya.

Beliau juga tidak memberi jaminan sama ada pihaknya akan bersetuju jika Prawit mahu melanjutkan tempoh penjelasan melibatkan 25 jam tangan itu.

"Sebarang keputusan berhubung permintaannya untuk melanjutkan tempoh itu perlu meneliti alasan yang dikemukakannya," kata Worawit.

Sebelum ini 18 Januari 2018 adalah tarikh yang ditetapkan kepada pemimpin kanan Thailand itu, bagaimanapun dilanjutkan kepada 16 Februari dan seterusnya hingga 2 Mac 2018.

Setakat ini, NACC telah memanggil empat saksi untuk memberi keterangan, manakala dua lagi akan berbuat demikian minggu depan.

Sebelum ini, Prawit yang juga Menteri Pertahanan memaklumkan sedia meletak jawatan daripada kerajaan jika badan pencegahan rasuah negara itu mendapatinya bersalah berhubung dakwaan memiliki jam tangan mewah.

Prawit masih mendakwa jam tangan yang dipersoalkan itu ialah milik kawan-kawannya yang meminjamkan aksesori mewah untuk beliau pakai sebelum memulangkan jam tangan itu kepada pemilik sah.-BangkokPost


Prawit, NACC

Artikel Berikut

Artikel Lain