suria

Heboh! Duit Jatuh Dari Langit Benar-Benar Berlaku

'HUJAN wang' atau duit jatuh dari langit kini bukan lagi perkara yang mustahil.

Kejadian ini berlaku di Jakarta, Indonesia apabila ribuan keping wang kertas dijatuhkan dari bahagian atas sebuah papan tanda besar pada Rabu.

Dalam rakaman video yang tular, wang kertas itu dilihat dilempar dari sebuah kren di sebelah papan iklan yang terletak di Jalan Rasuna Said di Kuningan, Jakarta Selatan, berhampiran kompleks Plaza Festival.

Seorang saksi memberitahu Kompas ia bermula kira-kira jam 12.30 tengahari dan berlangsung selama 20 minit.

Papan iklan mengiklankan 17Q, aplikasi 'livestream' Indonesia yang baharu.

Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi dari mana-mana syarikat berhubung hujan wang itu, billboard itu jelas memaparkan iklan 'hujan duit' sekali gus menyebabkan ramai membuat andaian bahawa syarikat aplikasi itu bertanggungjawab di sebalik apa yang berlaku.

"Lebih kurang pukul 12.30 tengahari, ada orang naik kren dekat papan iklan, dia melemparkan wang dari atas. Saya sempat ikut tadi, lumayan dapat Rp20,000 (RM5.69)," kata saksi, Dede, memetik Kompas.

Seorang petugas sekuriti, Efri, juga melihat saat-saat berlakunya 'hujan duit' itu.

Jelasnya, terdapat banyak jenis wang kertas yang dilemparkan.

"Ada duit Rp10,000 (RM2.85), Rp5,000 (RM1.42), yang paling banyak Rp2,000 (RM0.57)," katanya memetik Kompas.

Walaupun nilainya tidak tinggi dan orang ramai perlu berebut untuk mendapatkannya, ia jelas memberikan keseronokan kepada orang ramai yang segera menyerbu papan tanda besar itu dan berharap dapat mengambil beberapa keping wang yang jatuh dari langit.

hujan duit, Jakarta

Artikel Berikut

Artikel Lain