suria

Kematian Sridevi Terus Diratapi Peminat Di Seluruh India

Peminat-peminat Sridevi memenuhi kawasan kediaman mendiang di Mumbai.

NEW DELHI: Kematian bintang handalan Bollywood, Sridevi Kapoor, pada usia 54 tahun telah mengejutkan rakyat India, menyebabkan seluruh negara itu diselubungi kesedihan, lapor agensi berita China Xinhua.

"Dukacita dengan kematian seorang pelakon terkenal Sridevi. Mendiang seorang veteran dalam industri perfileman, dan sepanjang tempoh kerjayanya yang panjang telah memainkan pelbagai watak serta memberikan persembahan yang sukar dilupakan," kata Perdana Menteri Narendra Modi menerusi akaun Twitter.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan peminat beliau serta turut bersedih atas kehilangan ini. Semoga rohnya bersemadi dengan tenang," katanya.



Keluarganya telah mengesahkan bahawa aktres kesayangan India itu meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menghadiri majlis perkahwinan anak saudara lelakinya di Dubai pada lewat malam Sabtu.

Dilahirkan di Tamil Nadu yang terletak di selatan India, Sridevi memulakan kerjaya lakonannya pada usia empat tahun sebelum menjadi antara nama besar dalam industri perfileman Hindi, dan mampu bertahan selama lebih empat dekad.

Beliau membintangi banyak filem blockbuster seperti "Nagina" (1986), "Mr India" (1987) dan "Chandni" (1989). Filem terakhir lakonan mendiang ialah Mom yang dikeluarkan pada 2017.

Sridevi telah dikurniakan anugerah Padma Shri, yang merupakan anugerah keempat tertinggi India khusus untuk orang awam, sebagai menghargai sumbangannya dalam industri perfileman.- Bernama

Sridevi

Artikel Berikut

Kantoi Kencing Dalam Lif!

Artikel Lain