suria

Isu Hubungan Sulit: TPM Australia Letak Jawatan

CANBERRA: Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce, telah meletak jawatan pada Jumaat beberapa jam selepas pendedahan bahawa beliau berdepan pertuduhan melakukan gangguan seksual, lapor agensi berita China Xinhua.

Beliau telah memegang jawatan itu sejak Februari 2016 kerana memimpin Parti Nasional Australia yang merupakan sebahagian daripada gabungan parti pemerintah, Parti Nasional Liberal (LNP).

Peletakan jawatan beliau dibuat sehari selepas Larry Anthony, Presiden Persekutuan Parti National, mengesahkan bahawa Joyce berdepan aduan melakukan gangguan seksual yang akan  "ditangani secara serius" dan dengan "kerahsiaan yang ketat."

Aduan itu memburukkan lagi situasi Joyce yang berdepan tekanan hebat untuk melepaskan jawatan sejak pendedahan bahawa beliau telah mengadakan hubungan sulit dengan bekas penasihat media, Vikki Campion, yang dijangka melahirkan anak mereka pada April.

"Saya akan melepaskan jawatan pemimpin Parti Nasional dan Timbalan Perdana Menteri Australia pada pagi Isnin di bilik mesyuarat parti," kata Joyce kepada pemberita di kawasan mengundinya New England yang terletak di negeri New South Wales.

"Saya ingin mengucapkan terima kepada penduduk New England. Saya begitu terharu hari ini kerana ada yang memberikan sokongan. Saya amat terharu dan ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang tidak terhingga ini.

"Sejak setengah bulan yang lepas, terdapat beberapa dakwaan terhadap saya. Saya tidak percaya ada yang boleh dipertahankan. Saya telah meminta agar pertuduhan itu (gangguan seksual) dirujuk kepada polis," katanya.

Sejak hubungan sulitnya didedahkan, Joyce telah disoal mengenai beberapa kenaikan pangkat yang diperoleh Campion dalam Parti Nasional selepas hubungan mereka bermula.

Episod itu telah mendorong Perdana Menteri Malcolm Turnbull memperkenal larangan hubungan seksual antara menteri kerajaan dan kakitangan mereka, satu langkah yang disifatkan oleh Joyce sebagai "tidak sesuai."

Andrew Broad, yang mewakili kawasan mengundi Malee di negeri Victoria, pada malam Khamis menjadi anggota parlimen Parti Nasional pertama secara terbuka meminta Joyce mengundurkan diri dan berkata beliau "tidak layak" memegang jawatan itu.

Peletakan jawatan itu dibuat pada hari terakhir cuti peribadi seminggu yang diambil Joyce dalam usaha mengelak menjadi pemangku Perdana Menteri ketika Turnbull berada di Amerika Syarikat untuk lawatan rasmi.

Meskipun telah melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Joyce berkata "tidak ada sebarang keraguan" bahawa beliau akan bertanding semula sebagai wakil rakyat New England.

Pemimpin seterusnya Parti Nasional dan Timbalan Perdana Menteri akan diundi pada mesyuarat parti itu Isnin ini.  Menteri Hal Ehwal Veteran, Michael McCormack, dilihat sebagai calon yang paling sesuai bagi mengisi kekosongan itu.-Bernama

Barnaby Joyce, Australia

Artikel Lain