suria

12 Tahun Jadi Pencuri TV Hotel

-foto Polis Bangalore

PEMILIK hotel dinasihatkan berhati-hati kerana tidak semua tetamu yang berpakaian kemas dan nampak baik itu betul-betul baik orangnya!

Seorang lelaki India telah 'membuktikannya' apabila dia berjaya mencuri lebih dari 120 set TV hotel dalam masa empat bulan.

Vasudev Nanaiah, 37, ditangkap bulan lalu dan didakwa dengan 21 tuduhan mencuri selepas menimbulkan kekacauan dalam kalangan hotel-hotel bajet di selatan India dengan mencuri sejumlah set TV dari bilik yang ditempahnya.

Pencuri TV itu akan menempah bilik melalui telefon dan sentiasa membuat sedikit bayaran pendahuluan, memaklumkan kepada kakitangan bahawa dia akan tinggal di situ selama beberapa hari, untuk mengelakkan kecurigaan.

Nanaiah biasanya tiba dengan bagasi besar dan sekiranya peti TV itu lebih besar berbanding bagasi yang dibawanya, dia sanggup keluar dan membeli bagasi baharu.

Menurut polis, pencuri terbabit akan mengelirukan kakitangan hotel dengan berjalan mundar-mandir di hotel bersama bagasinya sambil memberi pelbagai alasan, tetapi mereka tidak pernah mengesyaki bahawa dia akan keluar dan tidak akan kembali lagi ke hotel tersebut.

Nanaiah disifatkan sebagai individu yang 'tidak pernah menimbulkan kecurigaan' oleh kakitangan hotel yang menggambarkannya sebagai orang yang baik.

Menariknya, tetamu hotel licik itu mula-mula ditahan pada Oktober tetapi dibebaskan dengan ikat jamin.

Lelaki itu tidak membuang masa dan meneruskan aktivitinya dalam masa beberapa hari selepas dilepaskan.

Malangnya, dia telah diawasi polis yang menumpaskannya kegiatannya bulan lalu ketika dia cuba menjual semula beberapa set TV.

"Kami menahannya awal bulan ini ketika dia cuba menjual set TV ke penjaga kedai yang memaklumkan kepada pihak polis," kata polis Bangalore, sambil menambah bahawa kira-kira 20 set TV telah ditemui.

Siasatan itu juga mendedahkan bahawa Nanaiah telah mencuri kira-kira 100 buah TV dari hotel-hotel di negara-negara jiran Tamil Nadu dan Andhra Pradesh.

Nanaiah memberitahu polis bahawa caranya itu lebih rendah risiko dan mudah.

Mencuri 120 set TV hotel hanya dalam empat bulan kedengaran agak luar biasa, tetapi bagi Nanaiah ia hanyalah pencapaian terbaru dalam kerjaya jenayah yang telah lama dilakukan.

Nanaiah mengaku telah mencuri TV hotel selama lebih dari 12 tahun dan sumber-sumber polis Bangalore percaya dia mungkin telah mencuri dan menjual lebih 1,000 buah TV sepanjang tempoh itu.

curi TV, Bangalore

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain