suria

Ujian Terkini Peluru Berpandu Pyongyang Minggu Depan

MOSCOW: Korea Utara sedang bersedia untuk menguji peluru berpandu jarak jauh yang dipercayai mampu sampai ke pantai barat Amerika Syarikat (AS).

Agensi berita RIA yang memetik seorang penggubal undang-undang Rusia yang melawat Pyongyang melaporkan perkara itu.

Anggota Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Duma (Dewan Rakyat) Rusia, Anton Morozov dan dua lagi ahli Parlimen Rusia dalam rangka lawatan ke Pyongyang antara 2 hingga 6 Oktober.

"Mereka sedang bersedia untuk membuat ujian baru peluru berpandu jarak jauh.

"Mereka turut memberi kami pengiraan matematik yang dipercayai membuktikan bahawa peluru berpandu mereka mampu sampai ke pantai barat Amerika Syarikat.

"Apa yang kami faham, mereka bercadang untuk melancarkan satu lagi peluru berpandu jarak jauh dalam masa terdekat dan secara umumnya, mereka agak agresif," lapor RIA yang memetik Morozov.

Ketegangan tercetus sejak beberapa minggu lalu susulan program senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara apabila Pyongyang melancarkan beberapa ujian termasuk penggunaan bom hidrogen.

Sementara itu di Washington, pihak berkuasa menjangka Korea Utara sedang bersedia melancarkan ujian peluru berpandu pada 10 Oktober ini sempena ulang tahun pengasas Parti Buruh Korea yang juga sehari selepas cuti Hari Columbus di AS. - Reuters


Pyongyang, AS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain