suria

Cacat Akibat ‘Diratah’ Anjing

BEATA Obuchowska, terpaksa menjalani 24 pembedahan akibat cedera parah ‘diratah’ dua  anjing ketika sedang bekerja membersihkan ladang di Hertfordshire.

Ibu kepada seorang anak yang bekerja sebagai tukang cuci di Ladang Warren di Great Amwell itu, diserang haiwan berkenaan yang menggigit dan mengoyak kulitnya sehingga menampakkan tulang, serta menggigit kaki dan ‘mengunyah’ jarinya.

Wanita berusia 34 tahun dan warga Poland itu memberitahu The Mirror bagaimana dia berjaya mengharungi detik cemas pada Oktober 2014 itu.

“Seekor anjing gigit tangan kanan, seekor lagi gigit kaki, kemudian mereka ‘bermain’ dengan saya di atas tanah.

“Seekor anjing menarik saya ke satu arah, dan seekor lagi ke arah yang lain. Saya umpama mainan pada mereka."

Wanita yang menetap di Britain sejak 11 tahun lalu terpaksa mendapat rawatan lebih dua bulan di hospital.

Walaupun pakar bedah berjaya menyelamatkan tangan kirinya, namun jari tengah dan jari telunjuk tangan kanannya terpaksa dipotong.

Nijamul Islam, 44, pengurus kandang anjing itu, telah dipenjarakan selama dua setengah tahun selepas didakwa bersalah di atas dua tuduhan kerana tidak menguruskan anjing-anjing yang sukar dikawal itu.

Anak perempuannya yang berusia tujuh tahun adalah punca Obuchowska menguatkan semangatnya untuk terus hidup ketika 'dimamah' haiwan berkenaan.

Dia cuba untuk mengambil batu dan melempar ke arah anjing-anjing itu, tetapi kedua-dua tangannya cedera parah.

“Saya cuba segala-galanya. Saya pukul, belai, cium, dan juga gigit hidung apabila anjing itu menggigit tangan saya. Tetapi, semuanya tidak berjaya,” katanya.

Akhirnya, dia berpura-pura mati dengan harapan anjing-anjing itu terpedaya. Selepas lima minit, mereka meninggalkannya dan terus ke lopak untuk minum air.

Nasib menyebelahinya apabila pemilik tanah kebun yang menyewakan kandang anjing pada Islam, menemuinya dan membawanya masuk ke dalam van.

Islam kemudian tiba di kebun, tetapi terlalu takut untuk menolong Obuchowska.

Selepas mengetahui apa yang terjadi, dia berkata, “Kenapa awak hubungi ambulans? Sekarang saya dalam masalah besar.

“Beritahu polis, awak diserang di jalan,” katanya kepada mangsa.

Susulan kejadian itu, mahkamah di Bedford melarang Islam menguruskan haiwan selama 10 tahun kerana memberi layanan teruk pada anjing.

Lelaki itu kemudian mengaku bahawa dia telah pecah amanah ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi St Albans.

“Saya sangat berpuas hati kerana keadilan berjaya ditegakkan selepas apa yang saya lalui tiga tahun lepas,” kata Obuchowski selepas kes itu.

Menurutnya, dia tidak akan bekerja dengan haiwan lagi. 

“Saya puas hati melihat dia masuk penjara. Saya tidak rasa dia menyesali perbuatannya dan mungkin akan mengulangi perkara yang sama. Penjara selama dua setengah tahun tidak akan memberi pengajaran padanya.”



Beata, Ladang Warren

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain