suria

Denda RM13,940 Untuk Gelandangan Ingkar

GOLONGAN gelandangan yang 'berkampung' di sepanjang jalan Oxford bakal dikenakan denda sebanyak £2,500 (RM13,940) sekiranya masih berdegil untuk terus berbuat demikian.

Pihak Majlis Perbandaran Oxford telah mengeluarkan notis berhubung tindakan tegas itu dan menampal amaran terbabit pada barang milik gelandangan kerana didapati menghalang laluan.

Menurut laporan BBC, seorang gelandangan mendakwa barangan turut dirampas oleh pihak majlis perbandaran.

Notis yang diberi pada Neo, 44, menyatakan tingkah lakunya memberi kesan buruk di atas perlakuan berterusan yang mengganggu kehidupan orang lain.

“Kebanyakan barang yang diambil adalah barang yang diderma. Sangat menyedihkan,” kata Neo kepada BBC.

Majlis perbandaran menegaskan sebarang beg yang ditinggalkan di luar laluan masuk ke dalam premis merisikokan keselamatan orang awam kerana menghalang laluan kecemasan.

Mereka juga berkata, loker ada disediakan untuk gelandangan menyimpan barang-barang mereka.

Namun, usaha majlis perbandaran dikritik oleh ahli majlis dari Parti Hijau, David Thomas.

“Terdapat sebuah rumah gelandangan yang sempurna di pusat bandar, tetapi masih belum dibuka oleh majlis perbandaran.

“Mengugut gelandangan dengan rekod jenayah kerana tiada tempat untuk tidur adalah satu perbuatan yang memalukan.

“Kita perlu menolong gelandangan, bukan menindas mereka. Notis itu digunakan sebagai teknik untuk mengusir mereka,” kata Thomas kepada Oxford Mail. - Metro.uk

Gelandangan, OXford

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain