suria

Ditahan 26 Jam Gara-Gara Suami Beragama Islam

HASRAT sepasang pengantin baharu untuk berbulan madu di pulau Hawaii bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka ditahan seperti penjenayah gara-gara status pengantin lelaki itu sebagai beragama Islam.

Pasangan Britain itu, Natasha Politakis, 29, dan suaminya Ali Gul telah membuat perancangan bulan madu ke Hawaii selepas menyimpan duit sebanyak £7,000 (RM39,012) untuk ke sana.

Namun setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, mereka dilayan seperti penjenayah dan ditahan selama 26 jam oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Lebih malang lagi, selepas dibawa ke pusat tahanan tanpa diberi peluang untuk mengemukakan penjelasan, mereka kemudiannya dihantar pulang ke England, sekali gus merosakkan perancangan memberi penjelasan sebelum dihantar pulang ke England.

Politakis berkata, dia percaya bahawa mereka menerima layanan teruk kerana suaminya, Ali Gul adalah Muslim dan mempunyai darah Turki.

Ujarnya, mimpi buruk itu bermula apabila mereka tiba di lapangan terbang terbabit dan dimaklumkan akan disoal siasat selama lima minit tetapi telah ditahan lebih dari satu hari sebelum dihantar untuk penerbangan pulang ke Britain.

"Kami telah membayar dan menempah penerbangan ke Haiwaii serta menyediakan segala visa yang diperlukan.

“Saya terkejut dan tidak menyangka kami dilayan sebegitu rupa," kata wanita terbabit.

Menceritakan semula detik hitam itu, Politakis berkata, mereka  tidak dibenarkan untuk mandi, minum kopi dan menukar baju selama 26 jam.


Malah katanya, barang-barang mereka juga dirampas selama tempoh tahanan mereka.

"Apabila kami mempersoalkan tindakan mereka, kami terus digari.

"Telefon kami juga hanya diberikan selepas kembali ke Britain.

“Semasa kami kembali ke UK pada 24 Mei, kami dibenarkan menghubungi keluarga kami dan mereka sangat cemas kerana tidak mendapat apa-apa khabar berita dari kami selama dua hari," tambahnya.

Politakis dan Gul ingin mengemukakan aduan kepada Kedutaan AS, tetapi mengalami kesukaran untuk mendapatkan temu janji.

Walaupun dilahirkan di Turki, Ali melancong dengan pasport British yang sah dan tidak pernah mengalami sebarang masalah ketika melancong ke luar negara sebelum ini.

“Saya tidak mampu makan dan minum kerana risaukan mereka,” kata Sue, ibu Politakis kepada Mail Online.

“Pihak berkuasa di lapangan terbang mengambil telefon mereka dan melihat gambar-gambar mereka sambil menunjukkan gambar lelaki berjanggut dan bertanya dari mana dia datang.

Salah seorang yang ditunjuk itu adalah anaknya, iaitu abang ipar Gul.

“Dia mempunyai janggut kerana mengikut fesyen, bukan sebab agama.

“Saya tidak mahu sesiapa yang baru berkahwin melalui pengalaman yang sama, saya berharap perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi," kata Sue.

Islamfobia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain