suria

Ambience: Filem Berdurasi 720 Jam

SEGELINTIR orang tidak mampu bertahan selama dua jam untuk menonton filem tidak kira di panggung wayang atau di rumah, dan akhirnya mereka akan tertidur.

Jadi bayangkan jika mereka ini menonton filem yang berdurasi 720 jam?

Pengarah filem dari Sweden, Anders Weberg bakal merealisasikan perkara itu apabila menghasilkan filem Ambience yang memakan masa tayang selama 30 hari atau  720 jam.

Weberg yang menceburi bidang seni visual lebih dua dekad, menerbitkan filem itu sebagai sebahagian perancangannya untuk bersara pada tahun 2020, tahun yang sama filem itu ditayangkan.

Ideanya mudah. Weberg mahu menamatkan kariernya dengan penuh dramatik apabila memegang rekod menghasilkan filem paling panjang ditayangkan di pawagam.

Ambience, akan disiarkan secara serentak di seluruh Eropah dan akan ditayangkan sekali sahaja.

Malah menurut perancangan Weberg, selepas tayangan selama 30 hari itu selesai, segala data dan salinan filem tersebut akan dihapuskan supaya ia tidak ditayangkan lagi.

Jika anda mengharapkan filem yang penuh drama, Ambience bukanlah untuk anda.

Weberg mendakwa karyanya itu tidak berskrip dan tidak seperti yang penonton jangkakan.


“Proses yang saya praktikkan adalah pengumpulan kilasan cahaya dengan kamera dan memasukkannya ke dalam komputer.

"Saya mengambil kesemua kilasan itu dan menyusunnya sehingga emosi yang saya cuba untuk sampaikan itu tercapai,” kata pengarah itu.

Untuk memecahkan rekod terbitan filem terpanjang, Weberg perlu mengatasi filem Modern Times Forever yang disiarkan pada 2011 dengan durasi selama 240 jam.

Secara teknikalnya, beliau sudah berjaya kerana pada tahun lepas, dia telah membuat 400 jam filem Ambience, dan mengatakan mampu menyiapkannya sebelum tamat tempoh.

“Matlamat saya sekarang adalah membuat sekurang-kurangnya satu jam filem yang sudah disunting setiap minggu. Proses itu memerlukan tujuh hingga lapan jam bahan asli (belum disunting) setiap minggu,” katanya.

Untuk memastikan mempromosikan filemnya, beliau telah mengeluarkan trailer filem itu sejak 2014.

Trailer pertama hanya berdurasi tujuh minit, tetapi pada tahun lalu, dia mengeluarkan trailer baru yang berdurasi tujuh jam.

Pada tahun depan, Welberg akan mengeluarkan trailer terakhir yang berdurasi 72 jam.

Lebih menarik lagi, Ambience akan menampilkan 100 pelakon, tetapi berkemungkinan mereka tidak akan mempunyai dialog langsung.

Pengarah filem itu berkata, setakat ini dia tidak meletakkan sebarang dialog.

Katanya, dialog dan lagu di dalam filem tidak diperlukan untuk menyampaikan mesej.

Weberg menghasilkan filem itu secara bersendirian, begitu juga dengan kos projek berkenaan.

Ambience

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mayat Dihantar Buaya Ke Tebing

Artikel Lain