suria

Kekasih Curang? Hubungi Ginza Ladis 1

PELAKON upahan Ginza Ladis 1 amat profesional. - GAMBAR HIASAN

ANDA mungkin pernah mendengar perkhidmatan 'menyewa' rakan, kekasih dan tetamu untuk menghadiri majlis anjuran anda sendiri.

Di Jepun, semua perkhidmatan itu memang ada disediakan bagi mereka yang terdesak untuk mempunyai kekasih atau rakan.

Kini muncul satu lagi perkhidmatan khas yang membolehkan anda membaiki hubungan cinta yang hampir musnah, sekali gus menyelamatkan insan yang anda sayang.

Ginza Ladis 1, merupakan sebuah syarikat penyiasatan persendirian di Jepun, memperkenalkan perkhidmatan mengupah seseorang untuk membetulkan hubungan percintaan yang hampir retak.

Menerusi perkhidmatan itu, anda boleh mengupah 'pelakon' untuk berkawan dengan individu atau perampas yang menjalin hubungan sulit dengan pasangan anda dan ‘rakan’ itu akan memutuskan hubungan mereka.

Malah anda tidak perlu bersusah payah memujuk pasangan anda atau menyerang kekasih pasangan anda demi memperbaiki hubungan.

Berdasarkan pendedahan baru-baru ini, Ginza Ladis 1 memperkenalkan perkhidmatan 'perangkap cinta' untuk merosakkan hubungan pasangan yang berlaku curang.

Modus operandinya amat mudah, syarikat itu akan mengesan lelaki atau wanita yang merampas pasangan klien serta mengumpul maklumat termasuk minat dan hobi sasaran mereka.

Kemudian 'pelakon porfesional' akan dikerah untuk berkawan dengan sasaran tersebut supaya dia berlaku curang dan memutuskan hubungan wanita atau lelaki yang melakukan hubungan sulit dengannya.

Kemudian, pasangan yang berlaku curang itu akan kembali kepada kekasih asal mereka tanpa menyedari bahawa semua itu adalah lakonan.

Sudah pasti, operasi hebat ini tidak murah. Ginza Ladis 1 menawarkan pelbagai pelan iaitu pelan ‘30 hari dan lihat apa terjadi’ yang berharga 380,000 yen (RM14,525), serta plan ‘240 hari dan dijamin berjaya’ dengan harga cekik darah iaitu 8,600,000 yen (RM328,681).

Syarikat Jepun itu berkata, perkhidmatan mereka tidak semestinya menyelesaikan masalah dalam perhubungan, kerana tiada apa yang boleh menghalang pasangan anda dari mencari orang lain dan berlaku curang dengan anda. 

Syarikat tersebut juga menawarkan sesi kaunseling atau program pembangunan usaha diri untuk membantu anda menyelesaikan masalah di dalam percintaan. - ODDITY CENTRAL

Ginza Ladis 1

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain