suria

Artis Seni Tukar Gelandangan Jadi 'Pokemon'

ANTARA gelandangan yang dijadikan 'Pokemon' untuk projek terbaharu Von Hornsleth, baru-baru ini. - ODDITY CENTRAL

PAKAR seni dari Denmark, Kristian von Hornsleth baru-baru ini menerima kritikan berkenaan projek terbarunya yang mencetuskan kontroversi apabila menjadikan gelandangan di London sebagai karakter permainan video popular, Pokemon.

Lebih mengejutkan lagi, Von Hornsleth 'membuatkan; setiap gelandangan Pokemon itu boleh dibeli dengan harga AS$32,700 (RM140,142) setiap seorang.

Menerusi projek itu, Von Hornsleth mencipta aplikasi yang boleh mengesan setiap gelandangan yang didaftar pada setiap masa.

Von Hornsleth, yang sebelum ini menjayakan karyanya dengan membayar masyarakat miskin Afrika yang sanggup menukar nama kampung mereka ke Hornsleth sebagai iklan, telah menjelaskan bahawa idea terbarunya itu adalah satu usaha untuk mencegah pengangguran, pencerobohan privasi, ketidaksamaan dan program realiti televisyen, dengan teknologi terkini dan konsep seni yang menarik.

“Setiap gelandangan, yang kini berjumlah 10 orang, telah dilengkapi dengan alat pengesan. Oleh itu, pembeli atau empunya mereka boleh mengetahui jejak mereka 24 jam menerusi aplikasi khas yang menukar gelandangan menjadi ‘Pokemon hidup’,” kata artis seni itu kepada portal Evening Standard.

Von Hornsleth membayar upah kepada 10 orang gelandangan terbabit yang menyertai program itu secara sukarela. 

Dia mengambil gambar mereka dan meletakkan alat pengesan yang dipanggil ‘pengesan gelandangan Hornsleth’, yang bersambung terus ke aplikasi tersebut.

Namun, untuk mengesan ‘pokemon’, anda perlu membayar $32,700 (RM140,119) terlebih dahulu.

Pembayaran itu juga akan menunjukkan potret emas gelandangan tersebut supaya anda mengetahui rupa mereka.

“Kami telah mempunyai pembeli. Antaranya adalah aktivis dan ahli perniagaan,” tambah Von Hornsleth. 

Selepas beberapa minggu, Von Hornsleth akan mengeluarkan video yang merakam kehidupan gelandangan yang terlibat di dalam projek itu. “Penonton akan lebih berminat untuk menonton projek ini dari rancangan televisyen Kardashian,” katanya.

Mereka (gelandangan) boleh dikesan oleh pembeli selama satu tahun.

Apabila disoal berkenaan eksploitasi yang terlibat di dalam projeknya, dia berkata, “Ia adalah eksploitasi. Saya mengeksploitasi mereka dan mereka mengeksploitasi saya, atau juga dikenali sebagai perniagaan."

Kristian von Hornsleth

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain