suria

Kekasihku Dari 'Neraka'!

HIDUP Rotariu musnah akibat serangan asid oleh bekas kekasihnya.

DANIEL Rotariu, 31, terjaga dari tidur apabila mukanya terasa panas seperti sedang dibakar.

Pada mulanya, dia menyangka mukanya disimbah air panas tetapi setelah kesakitan itu seolah-olah membakar kulitnya, Rotariu menyedari dia disimbah asid.

Kejadian itu berlaku jam 2 pagi apabila Rotariu disimbah separuh liter asid sulfurik oleh teman wanitanya, Katie Leong.

“Serangan itu telah mengubah hidup saya. Saya tidak akan melupakan rasa sakit dan terkejut apabila asid membakar kulit dan saya tidak dapat berbuat apa-apa. Hidup saya tidak akan pernah sama lagi,” katanya.

Hidup Rotariu berubah pada Januari 2015 apabila dia berpindah ke rumah yang dikongsi bersama Leong dan rakannya di Leicester.

WAJAH asal Rotoriu.

Leong yang berusia 51, menipu mangsa dengan mengatakan usianya 36 tahun. Hubungan yang dijalinkan akhirnya berakhir kerana cemburu dan Rotariu membuat keputusan untuk berpindah.

“Saya terjaga dan terkejut dengan rasa sakit yang mencucuk-cucuk. Kemudian, saya merasakan asid di dalam mulut. Penglihatan di mata kanan saya menjadi kabur dan saya tidak dapat melihat apa-apa di mata kiri,” ujar mangsa.

Mahkamah mendapati bahawa Leong menguji cecair itu di sosej terlebih dahulu untuk memastikan ia dapat membakar kulit manusia.

Rotariu koma selama lima minggu, sambil dirawat oleh unit kebakaran di Hospital Nottingham City.

Selepas mangsa sedar dari koma, dia berkata, “Saya sangat terkejut apabila polis memberitahu Katie berada di dalam penjara. Mereka mengesyakinya sebagai suspek dalam kes tersebut.

"Mereka juga memberitahu umur sebenar Katie pada saya. Saya baru sedar yang saya langsung tidak mengenalinya.”

KESAN asid pada katil Rotariu.

Rotariu tidak boleh bergerak, melihat, bercakap dan pernah berniat untuk membunuh diri.

Ekoran tekanan yang dialami akibat peristiwa hitam itu, dia dipindahkan ke pusat pemulihan selepas salah seorang pekerja, Anna, jatuh cinta dengannya.

Anna sanggup berhenti kerja demi menjaga Rotariu.

Namun, kesan serangan itu kekal dan Rotariu terpaksa menjalani 14 pembedahan serta pelbagai rawatan lain seperti cantuman kulit. 

Mata kanannya terpaksa dikeluarkan beberapa minggu lalu dan mata kirinya buta.

Sementara itu, Leong telah didakwa dengan percubaan membunuh pada Mac lalu dan dijatuhkan hukuman penjara minimum 17 tahun.

KATIE LEONG

Awal bulan ini, dia diarahkan membayar £19,000 (RM106,489) sebagai pampasan kepada mangsa.

“Bagi saya, hukuman itu tidak cukup kerana dia akan keluar dari penjara selepas 17 tahun tetapi hidup saya sudah berubah buat selamanya. Dia langsung tidak menyesali perbuatannya.

“Saya akan melawat Katie suatu hari nanti kerana saya ingin mendengar penjelasannya, walaupun dia mungkin akan berbohong,” kata Rotariu lagi.

Serangan Asid

Artikel Berikut

Artikel Lain