suria

Penyerang London Bridge Laksana Plan B

LONDON: Penyerang London Bridge minggu lepas didapati menyembunyikan bom molotov koktail dan merancang menyewa sebuah trak untuk menyerang pejalan kaki, polis Britain melaporkan pada Sabtu.

Dalam kenyataannya, polis Metropolitan berkata, pegawai forensik yang memeriksa van putih telah menemui 13 botol wain yang dibalut dengan kain buruk dan dipercayai mengandungi cecair mudah terbakar serta dua penunu bunsen.

Dalam kejadian itu, tiga  pengganas yang menaiki van telah menikam  pejalan kaki di London Bridge, kawasan yang sering dikunjungi pada waktu malam.

Lapan terkorban sebelum penyerang terbabit, Khuram Shazad Butt, Rachid Redouane dan Youssef Zaghba ditembak mati pasukan polis yang bergegak ke lokasi. Insiden itu juga mengakibatkan 48 yang lain cedera.

Menurut polis, Butt cuba menyewa lori 7.5 tan sebelum serangan itu, tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana gagal menjelaskan bayaran.

"Apabila gagal, ketika itu dia memilih untuk melaksanakan plan B dan menyewa sebuah van.

“Jika Butt berjaya menyewa lori 7.5 tan, kesannya pasti lebih teruk," kata Ketua Bahagian Anti-Pengganas Dean Haydon kepada wartawan.

Katanya, mungkin juga mereka merancang untuk masuk ke dalam van dan melancarkan bom molotov koktail untuk serangan kedua.

"Kita tidak tahu, saya hanya boleh meneka," katanya.

Selain itu, polis juga mendedahkan gambar penemuan pisau dapur seramik merah jambu berukuran 30 sentimeteri yang digunakan penyerang.

“Kami perlu tahu banyak perkara berkenaan pisau-pisau ini. Dari mana asalnya? Dari mana penyerang tersebut membelinya?," kata polis.

Pada Julai lalu, seorang pelampau warga Tunisia berumur 31 tahun telah melancarkan serangan di khalayak ramai menggunakan trak 19 tan ketika sambutan Hari Bastille di bandar Riviera di Nice, Perancis yang membunuh 86 orang dan lebih 400 yang lain cedera.

Pada 19 Disember lalu pula, warga Tunisia berumur 24 tahun telah menyerang menggunakan trak di pasar Krismas di Berlin, membunuh 11 orang.

Selain itu, pada 22 Mac pula, lima orang dibunuh apabila seorang lelaki merempuh keretanya ke laluan pejalan kaki di Jambatan Westminster, London sebelum menikam seorang pegawai polis di luar sidang parlimen. -AFP 

London Bridge, Butt

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain