suria

Boleh Maut Jika Main Bola Sepak

BLAKE bukan sahaja tidak bermain bola sepak tetapi juga berenang akibat penyakit ganjil itu. - SWNS

KEBIASAANNYA, seorang pemain diharamkan untuk bermain bola sepak akibat kesalahan besar yang dilakukan sepanjang berkecimpung dalam sukan paling popular di dunia itu.

Namun berbeza dengan seorang pemain cilik dari Britain, Blake Brotherton, dia dilarang menceburi sukan itu kerana bimbang dunia bola sepak boleh meragut nyawanya.

Ini kerana kanak-kanak berusia lima tahun itu menderita penyakit ganjil yang dikenali sebagai cardiomyopathy iaitu penyakit yang menyebabkan jantungnya hanya berdegup 15 peratus berbanding kadar yang sepatutnya.

Derita itu sama seperti yang dialami oleh bekas pemain Arsenal, Fabrice Muamba yang hampir meninggal dunia di atas padang apabila jantungnya tiba-tiba terhenti ketika beraksi dalam perlawanan liga pada 2012.

Malah doktor mengesahkan jantungnya terhenti selama 78 minit akibat penyakit tersebut, sekali gus membuatkan Muamba mengambil keputusan untuk berhenti bermain bola.

Kini Blake juga terpaksa mengikut jejak Muamba kerana doktor mengesahkan jantungnya tidak boleh mengepam darah keseluruh badan dengan mencukupi.

Bagi ibunya, Kelly Brotherton, berita itu sangat mengejutkan dirinya.

"Anak saya sangat menyukai bola sepak dan mahu menjadi seperti rakan-rakannya.

"Ada kalanya dia cuba berlari tetapi saya melarangnya. Dan dia akur dan hanya menendang bola ke arah gol tanpa berlari," katanya menurut laporan portal Mirror.

Blake kini berada dalam senarai menunggu untuk pembedahan pemindahan jantung jika organnya itu menunjukkan penurunan degupan 10 peratus atau kurang.

Selain bola sepak, Blake juga tidak boleh terlibat dalam aktiviti renang.

"Jika dia menjalani pembedahan tersebut, ada harapan untuknya bermain bola sepak semula.

"Tetapi dia hanya dibenarkan untuk menjalani dua pembedahan sahaja dan terdapat risiko jika jantung baharu yang diterima tidak sesuai," kata Kelly.

Blake Brottherton

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ratu Elizabeth Masih Gagah

Artikel Lain