suria

Bot Karam: Seorang Selamat, Nasib 146 Lagi Belum Pasti

Kalifa ketika dalam perjalanan untuk dibawa ke pulau milik Itali, Lampedusa.

ROM: Seorang remaja warga Gambia terselamat, manakala 146 imigran yang lain dikhuatiri hilang selepas bot mereka karam di perairan Libya.

Ketika ditemui kapal milik organisasi Jerman, Jugend Rettet, Kalifa Kujabi, 17 itu hampir tidak sedarkan diri.

Menceritakan pengalamannya kepada pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), remaja yang juga pemain bola sepak itu berkata, bot tersebut membawa bersama lima kanak-kanak dan beberapa wanita mengandung.

Katanya lagi, kebanyakan penumpang berasal dari Nigeria, Mali serta Gambia.

"Hanya beberapa jam selepas belayar, bot mereka dimasuki air dan remaja itu terselamat selepas berpaut pada sebuah tong bahan api," katanya.

Sebaik diselamatkan, mangsa dihantar menaiki sebuah kapal tentera Sepanyol yang terlibat dalam operasi Kesatuan Eropah bagi membanteras penyeludupan manusia, Operasi Sophia, sebelum dibawa ke pulau milik Itali, Lampedusa.

Dalam kenyataan kepada pegawai UNHCR yang melawatnya di sebuah hospital di Lampedusa, mangsa berkata, bot mereka belayar sama ada pada Ahad atau Isnin lepas dari Sabratha, barat laut Libya.

“Tragedi ini menunjukkan terdapat kejadian bot karam tidak disedari kerana bot-bot ini tenggelam tanpa meninggalkan sebarang kesan,” kata jurucakap Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), Flavio de Giacomo.

Menurut IOM pula, sekurang-kurangnya 590 imigran mati atau hilang di perairan Libya sejak awal tahun ini tidak termasuk tragedi terkini tersebut. – AFP
Gambia, Iuventa

Artikel Berikut

Artikel Lain